BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat nilai kesan pembangunan pusat data terhadap alam sekitar | PRN Melaka: 9.24 peratus pengundi keluar mengundi setakat 9 pagi - SPR | PRN Melaka: Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh selesai mengundi di SK Jeram, Masjid Tanah pada 8.38 pagi | PRN Melaka: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim selesai mengundi di SK Demang Hussin, Bukit Katil | PRN Melaka: Semua 240 pusat mengundi dibuka tepat 8 pagi ini, cuaca baik di seluruh negeri | 

Pembaharuan Fiskal Perkukuh Kedudukan Kewangan Negara, Nisbah Hutang Menurun – KSP

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan MADANI komited mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat daripada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 3.3 peratus pada 2027.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata pengurangan defisit fiskal itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kedudukan kewangan negara, sekali gus membantu menurunkan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK.

Beliau berkata nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK yang berada pada 65.2 peratus pada akhir 2025 diunjurkan menurun kepada 64 peratus pada akhir tahun ini dan seterusnya kepada 63.7 peratus pada 2027.

Ad Banner
Ad Banner

“Inilah antara usaha yang dilaksanakan kerajaan menerusi pembaharuan fiskal bagi memastikan tahap hutang kekal pada paras yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Deloitte’s 52nd TaxMax di Petaling Jaya, dekat sini.

Beliau berkata dasar fiskal mengembang dalam Belanjawan 2027 penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kadar pengangguran pada paras rendah serta meningkatkan pendapatan rakyat bagi membantu isi rumah menangani cabaran kos sara hidup.

Mengulas cadangan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata langkah itu mungkin belum sesuai dilaksanakan ketika ini, mengambil kira ketidaktentuan ekonomi serta keutamaan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kerajaan terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, termasuk melalui kenaikan gaji minimum.

Johan berkata cadangan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan GST pada kadar setara tidak semestinya meningkatkan hasil kerajaan, sebaliknya berpotensi mengalihkan sebahagian beban cukai daripada sektor perniagaan, termasuk pengeksport, kepada pengguna.

“Perdana Menteri telah beberapa kali mengulas mengenai isu GST dan SST. Walaupun GST mempunyai kelebihannya, mungkin belum tiba masanya untuk melaksanakannya ketika ini.

“Terdapat juga beberapa salah faham dan dakwaan yang kurang tepat, termasuk saranan supaya GST dilaksanakan bagi meningkatkan hasil kerajaan.

“Pihak yang mencadangkan pelaksanaan GST untuk meningkatkan hasil negara mungkin memerlukan kadar GST yang lebih tinggi, dan itu bukan sesuatu yang kita inginkan ketika ini,” katanya.

Johan berkata kutipan SST ketika ini bersamaan 3.2 peratus daripada KDNK, iaitu nisbah yang sama dicatatkan oleh kutipan GST pada 2017.

-- BERNAMA