BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat nilai kesan pembangunan pusat data terhadap alam sekitar | PRN Melaka: 9.24 peratus pengundi keluar mengundi setakat 9 pagi - SPR | PRN Melaka: Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh selesai mengundi di SK Jeram, Masjid Tanah pada 8.38 pagi | PRN Melaka: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim selesai mengundi di SK Demang Hussin, Bukit Katil | PRN Melaka: Semua 240 pusat mengundi dibuka tepat 8 pagi ini, cuaca baik di seluruh negeri | 

Kilang FIZ RM488 Juta Di Senai Dijangka Siap Suku Pertama 2027

JOHOR BAHRU, 11 Nov (Bernama) – Kilang Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Malaysia milik EPG, Pusat Data Modular EPG yang bernilai kira-kira RM488 juta di Senai Airport City (SAC) dijangka siap menjelang suku pertama 2027.

EPG menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pemasangan rasuk struktur terakhir kilang tersebut telah disempurnakan, sekali gus menandakan penyiapan struktur bangunan fasiliti itu.

Kilang yang terletak di kawasan pembangunan perindustrian bersepadu seluas kira-kira 1,100 hektar di Iskandar Malaysia itu meliputi kawasan seluas 107,450 meter persegi, termasuk 70,000 meter persegi ruang pengeluaran.

Ad Banner
Ad Banner

Sebagai sebahagian daripada pembangunan Fasa 3 SAC, fasiliti itu dijangka menjadi antara pangkalan pembuatan modul pusat data (MDC), satu tapak terbesar dalam sektor berkenaan dari segi kapasiti pengeluaran, selain menyediakan lebih 800 peluang pekerjaan profesional dan teknikal apabila beroperasi sepenuhnya.

Pengasas dan Pengerusi EPG Alick Wan berkata kilang FIZ itu merupakan langkah penting dalam mendekatkan keupayaan pembuatan syarikat kepada pelanggan serta pasaran yang dilayaninya.

“Dengan menggabungkan pembuatan termaju dan kerjasama erat dengan rakan kongsi tempatan, kami sedang membangunkan pangkalan operasi yang responsif di Malaysia, di samping mewujudkan model yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelanggan di pasaran lain,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAC, Gan Seng Keong berkata pelaburan EPG itu merupakan penambahan penting kepada ekosistem pembuatan pusat data yang semakin berkembang di SAC.

Pelan induk kilang berkenaan merangkumi lima bangunan bagi pengeluaran kepingan logam, produk unit pemindahan kuasa (PTU), penjana diesel, pemasangan akhir serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pejabat.

Kilang itu akan mengintegrasikan peralatan automasi termaju, sistem kawalan pintar dan teknologi kimpalan automatik dengan barisan pengeluaran dijangka mencapai kadar automasi sekurang-kurangnya 80 peratus.

EPG turut berhasrat membangunkan kerjasama dengan pembekal tempatan secara berperingkat termasuk meningkatkan penglibatan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalannya.

– BERNAMA