BERITA TERKINI   PRN Melaka: 17.96 peratus pengundi keluar mengundi setakat 10 pagi - SPR | Raja Permaisuri Agong titah pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat nilai kesan pembangunan pusat data terhadap alam sekitar | PRN Melaka: 9.24 peratus pengundi keluar mengundi setakat 9 pagi - SPR | PRN Melaka: Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh selesai mengundi di SK Jeram, Masjid Tanah pada 8.38 pagi | PRN Melaka: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim selesai mengundi di SK Demang Hussin, Bukit Katil | 

Kitaran Pelaburan, Lebihan Perdagangan Sokong Pengukuhan Ringgit Pada 2027 – Ahli Ekonomi

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kitaran pelaburan negara dan lebihan perdagangan dijangka memberi ruang kepada ringgit untuk mengukuh pada tahun depan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata kesinambungan dasar kerajaan mampu mengekalkan keyakinan pelabur meskipun aliran modal di rantau ini tidak menentu.

Ad Banner
Ad Banner

“Pelaburan dalam sektor semikonduktor, perkembangan pusat data dan permintaan domestik yang berdaya tahan menjadi asas kepada prospek ini. Julat dagangan asas yang saya jangkakan bagi 2027 ialah antara RM3.90 hingga RM4.11,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, kelemahan dolar AS dan penurunan hasil bon Amerika Syarikat (AS) berpotensi membawa ringgit ke paras RM3.90 berbanding dolar AS.

Shan turut mengunjurkan ekonomi negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar antara 5.3 peratus hingga 6.5 peratus tahun depan, mengatasi unjuran 4.8 peratus oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta unjuran pertumbuhan kerajaan antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada pembukaan dagangan 11 Nov, ringgit diniagakan menghampiri paras RM4.05 berbanding dolar AS.

Beliau berkata, Malaysia mencatat pertumbuhan enam peratus pada suku kedua 2026, lebihan akaun semasa sebanyak RM10.8 bilion serta rizab antarabangsa berjumlah RM537 bilion pada akhir Jun.

“Harga minyak mentah Brent pada paras US$95 hingga US$110 setong akan meningkatkan pendapatan eksport tenaga, tetapi dividen fiskal bersih bergantung pada rasionalisasi subsidi.

“Peningkatan kos subsidi bahan api menekankan kepentingan bantuan bersasar bagi mengekalkan ruang fiskal dan membendung tekanan perbelanjaan,” katanya.

Dalam kalangan negara ASEAN, beliau menjangkakan ringgit meningkat antara dua hingga tiga peratus dari segi nilai nominal berbanding setiap mata wang rupiah Indonesia, peso Filipina, baht Thailand dan dong Vietnam dari akhir 2026 hingga akhir 2027.

“Unjuran ini mencerminkan daya tahan luaran, momentum pelaburan dan kebolehramalan dasar Malaysia," kata Shan.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Shan menjangkakan kemungkinan kenaikan sebanyak 25 mata asas pada suku pertama 2027 sekiranya tekanan inflasi asas berterusan.

Shan berkata keadaan inflasi semasa tidak memerlukan langkah mengetatkan dasar monetari dalam masa terdekat, namun kenaikan inflasi boleh memperkukuh ringgit.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat terakhirnya pada 5 Nov.

-- BERNAMA