Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Sentimen Lemah

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa dengan indeks utama hanya berada di atas sedikit daripada paras 1,600, apabila jualan dalam saham wajaran tinggi berkaitan sektor perbankan dan pusat data telah menjejaskan sentimen pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.51 mata atau 0.77 peratus kepada 1,604.07 daripada paras 1,616.58 pada Jumaat minggu lepas.

Ad Banner
Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 9.97 mata kepada 1,626.55 dan bergerak turun naik antara paras terendah intra hari pada 1,595.26 serta paras tertinggi intra hari  pada 1,626.55 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 746 berbanding 395 manakala 463 kaunter tidak berubah, 1,169 kaunter tidak diniagakan, dan 12 kaunter digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.79 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 3.64 bilion unit bernilai RM3.49 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebimbangan terhadap pembiayaan syarikat teknologi berskala besar dan kemungkinan kelewatan dalam pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) terus memberi tekanan kepada YTL Power International Bhd dan kaunter lain yang berkaitan.

“Kami berpandangan penurunan ini disebabkan oleh kebimbangan terhadap pendapatan syarikat tertentu serta ketidakpastian berhubung pelaburan dalam infrastruktur AI, dan bukannya kemerosotan  dalam asas ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun indeks petunjuk pasaran mungkin kekal tidak menentu, penilaian yang semakin menarik mungkin menggalakkan aktiviti membeli saham berharga murah dalam kaunter mewah terpilih.

Meskipun penurunan hari ini namun beliau kekal optimis terhadap pasaran memandangkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta prospek pendapatan korporat yang kekal berdaya tahan.

“Kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,590–1,620 pada minggu ini, dengan keupayaannya untuk kekal di atas paras 1,600 menjadi faktor penting bagi mengekalkan kestabilan pasaran dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM10.06, Public Bank turun 22 sen kepada RM4.68, manakala CIMB naik dua sen kepada RM7.08, Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM13.18 dan IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM7.74.

Dalam kalangan kaunter aktif, Zetrix AI turun setengah sen kepada enam sen, GIIB Holdings susut 15 sen kepada 12 sen, YTL Power International merosot 32 sen kepada RM4.69, manakala Aizo Group naik setengah sen kepada tujuh sen dan Jaks Resources kekal tidak berubah pada 11.5 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.48 kepada RM37.68, Nestle meningkat RM1.64 kepada RM95.00, Allianz-PA naik 52 sen kepada RM20.60, Sunway Construction menokok 50 sen kepada RM8.36 manakala Westports Holdings menambah 26 sen kepada RM7.41.

Dalam kalangan kaunter paling rugi, Hengyuan Refining susut 30 sen kepada RM2.62, Vitrox Corp turun 27 sen kepada RM9.85, Ta Ann Holdings merosot 24 sen kepada RM5.41, Fraser & Neave Holdings berkurangan 22 sen kepada RM22.00 dan Mi Technovation menyusut 17 sen kepada RM5.93.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 72.50 mata kepada 11,892.97, Indeks FBM Top 100 berkurangan 73.47 mata kepada 11,724.98, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 30.95 mata kepada 16,989.93, Indeks FBM Emas Shariah turun 8.97 mata kepada 11,813.79, dan Indeks FBM ACE susut 30.25 mata kepada 5,209.99.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.94 mata kepada 170.41, Indeks Tenaga turun 15.20 mata kepada 779.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 213.28 mata kepada 18,743.78, manakala Indeks Perladangan berkurangan 66.55 mata kepada 8,659.81.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.57 bilion unit bernilai RM2.54 bilion daripada 1.98 bilion unit bernilai RM3.17 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 924.40 juta unit bernilai RM115.21 juta daripada 1.21 bilion unit bernilai RM145.53 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 292.05 juta unit bernilai RM115.46 juta daripada 444.10 juta unit bernilai RM174.61 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 288.35 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (322.26 juta), pembinaan (145.02 juta), teknologi (294.90 juta), perkhidmatan kewangan (85.79 juta), hartanah (92.15 juta), perladangan (28.46 juta), amanah pelaburan hartanah (12.74 juta), dana tertutup (194,900), tenaga (83.29 juta), penjagaan kesihatan (70.08 juta), telekomunikasi dan media (35.70 juta), pengangkutan dan logistik (45.48 juta), utiliti (70.39 juta), serta amanah perniagaan (14,500).

-- BERNAMA