JDV Sasar Bangunkan Perniagaan Tenusu Bersepadu Menerusi Kerjasama Dengan Dutch Lady

JOHOR BAHRU, 10 Nov (Bernama) -- Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDV) menyasarkan untuk membangunkan perniagaan tenusu bersepadu di Johor, merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada ladang hingga ke pengguna, melalui satu perkongsian strategik dirancang bersama Dutch Lady Milk Industries Bhd (Dutch Lady Malaysia).

Perkongsian itu dijangka dapat memperkukuh pengeluaran susu dalam negara, mengurangkan kebergantungan terhadap import serta meningkatkan ketersediaan susu segar keluaran tempatan pada harga kompetitif.

JDV dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama tersebut akan menggabungkan keupayaan penternakan tenusu moden miliknya dengan jenama, kehadiran pasaraan serta kepakaran pengedaran yang mantap milik Dutch Lady Malaysia, bagi menyediakan susu segar tempatan berkualiti tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif JDV, Qasem Alhasan berkata perkongsian berkenaan akan membantu merealisasikan potensi syarikat sepenuhnya, khususnya dalam aspek pemprosesan hiliran, penjenamaan, pemasaran dan pengedaran.

“Kami berbesar hati mengalu-alukan Dutch Lady Malaysia, jenama tenusu dipercayai, beroperasi di Malaysia lebih 60 tahun, sebagai rakan strategik kami dalam mencungkil potensi penuh Jemaluang Dairy Valley terutamanya dalam pemprosesan susu hiliran, penjenamaan, pemasaran, dan pengedaran,” katanya.

Qasem berkata hala tuju perniagaan JDV adalah seiring dengan aspirasi kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, khususnya dalam memperkukuh keselamatan makanan, membangunkan industri pertanian tempatan serta mewujudkan peluang ekonomi yang mampan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip yang sebelum ini mempengerusikan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri kerana sokongan beliau semasa peringkat awal pembangunan JDV serta kepada pengerusi jawatankuasa semasa, Md Israk Abdullah, atas bimbingan berterusan yang diberikan.

Selain operasi teras tenusunya, JDV menyasarkan untuk membangunkan keupayaan pembiakan lembu tenusu tempatan, menyokong petani kecil dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Syarikat itu juga merancang untuk meneroka inisiatif agro-pelancongan dan pendidikan bagi meningkatkan kesedaran mengenai pertanian, menyediakan latihan praktikal serta melibatkan generasi muda.

Dutch Lady Malaysia mengumumkan pada Selasa bahawa ia telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Kulim (Malaysia) Bhd dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd untuk memperoleh 14.49 juta saham biasa, mewakili kepentingan ekuiti sebanyak 35 peratus dalam JDV daripada Kulim dengan nilai RM17.5 juta secara tunai.

Dutch Lady Malaysia dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa cadangan pengambilalihan tersebut akan membolehkannya menembusi segmen susu segar serta memperkukuh keupayaannya dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap susu segar serta mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran susu sedia untuk diminum di Malaysia.

Syarikat itu juga telah memeterai perjanjian usaha sama bersyarat dengan Kulim, A2 Fresh Holdings dan JDV bagi mengawal selia hubungan antara pihak-pihak terbabit selepas pengambilalihan tersebut selesai.

Setelah selesai, Dutch Lady Malaysia akan memegang kepentingan sebanyak 35 peratus dalam JDV, manakala Kulim, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) akan mengekalkan kepentingan sebanyak 30 peratus yang dipegang secara amanah bagi pihak kerajaan negeri Johor, manakala A2 Fresh Holdings pula akan memegang baki 35 peratus kepentingan tersebut.

Menurut kenyataan itu, ladang tenusu JDV yang terletak di Sungai Ambat, Jemaluang, Mersing telah memulakan operasinya pada 2025, syarikat itu menyasarkan untuk menambah jumlah ternakannya daripada 1,000 ekor lembu tenusu pada masa ini kepada 2,000 ekor menjelang 2030.

Selain itu, JDV juga merancang untuk membina kemudahan pengeluaran dengan kapasiti tahunan antara 16 juta hingga 20 juta liter susu pempasteuran menjelang 2027.

Cadangan pengambilalihan ini tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu di bawah perjanjian tersebut dan dijangka selesai pada suku pertama 2027.

– BERNAMA