BERITA TERKINI   ACL2: Kuching City FC 2-0 Gangwon FC | Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | 

Kerajaan Beri Fleksibiliti Moratorium Eksport REE Bagi Tarik Pelabur Berpotensi

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) --  Kerajaan bersetuju memberikan fleksibiliti dasar moratorium eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) yang sedia ada melalui Garis Panduan Pertimbangan Permohonan Pengeksportan Unsur Nadir Bumi Mentah bagi menarik pelabur berpotensi.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan pada masa ini, pelabur REE agak keberatan untuk melabur kerana ketiadaan jaminan bekalan bahan mentah REE yang stabil dalam negara. 

Menurutnya, fleksibiliti pengeksportan itu terhad untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sahaja. 

Ad Banner
Ad Banner

“Tambahan pula, syarikat yang berkaitan hendaklah menunjukkan komitmen jelas mengenai kerjasama pembangunan fasiliti pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan eksport bahan mentah REE,” menurut MITI.

Kementerian itu menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai pendirian tegas kerajaan berhubung perjanjian pembekalan oksida nadir bumi bernilai US$96 juta antara Lynas dengan Pentagon, Amerika Syarikat (AS).

MITI memaklumkan strategi kementerian tertumpu kepada usaha menarik pelaburan domestik dan antarabangsa untuk membangunkan dan seterusnya memperkasa segmen industri REE pertengahan dan hiliran, terutamanya dalam pembuatan berteknologi tinggi seperti magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi menjayakan aspirasi membangunkan industri REE negara, Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama strategik dan pemindahan teknologi dari dalam negara termasuk juga negara rakan yang berpengalaman dalam pemprosesan REE. 

“Langkah ini bukan sahaja akan dapat mengukuhkan keupayaan tempatan merentasi seluruh rantaian nilai iaitu daripada aktiviti perlombongan sehinggalah kepada pembuatan produk akhir, malah akan menempatkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global mineral kritikal, tambahnya.

-- BERNAMA