BERITA TERKINI   ACL2: Kuching City FC 2-0 Gangwon FC | Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | 

Rundingan MEUFTA: Bab Harta Intelek Masih Belum Dimuktamadkan - MITI

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) masih berlangsung, dengan Bab Harta Intelek belum dimuktamadkan meskipun beberapa bab lain telah berjaya diselesaikan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan rundingan pusingan kelima telah diadakan dari 21 hingga 25 Sept 2026 di Brussels, Belgium.

Menurut MITI, perkara berkaitan Perjanjian mengenai Aspek Berkaitan Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS) terkandung dalam Bab Harta Intelek MEUFTA, yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ad Banner
Ad Banner

“KPDN melalui agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, mengambil kira bahawa perlindungan harta intelek, khususnya paten dan perlindungan data, perlu diseimbangkan dengan kepentingan awam, termasuk akses kepada ubat-ubatan yang selamat, berkualiti dan mampu milik.

“Selain KPDN, sebarang cadangan berkaitan harta intelek di bawah rundingan MEUFTA yang mempunyai implikasi terhadap akses kepada ubat-ubatan turut diteliti bersama Bahagian Regulatori Farmasi Negara di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” menurut MITI.

MITI menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai komitmen tambahan berkaitan harta intelek yang dicadangkan Kesatuan Eropah (EU) dalam rundingan berkenaan, aspek TRIPS-plus dan kewajipan sedia ada Malaysia, serta penilaian terhadap kesannya kepada persaingan, kemasukan ubat generik dan biosimilar serta ruang dasar bagi memastikan ubat-ubatan kekal mampu milik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MITI memaklumkan kerajaan akan terus berusaha memastikan sebarang hasil rundingan tidak mengehadkan ruang dasar negara untuk melaksanakan langkah yang diperlukan bagi memelihara kepentingan kesihatan awam, menggalakkan persaingan yang sewajarnya serta menjamin akses kepada ubat generik dan biosimilar.

Langkah itu sekali gus bertujuan menjamin kesejahteraan penduduk menerusi bekalan ubat-ubatan yang selamat, berkesan, berkualiti dan mampu milik, menurut MITI.

-- BERNAMA