Anak Syarikat Sapura Industrial Dapat Kontrak Pemasangan Gandar Chery Bernilai RM307 Juta
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Sapura Industrial Bhd, Sapura Machining Corporation Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pembelian induk dengan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd.
Perjanjian itu meliputi pemasangan sistem gandar hadapan dan belakang untuk program kenderaan terpilih, di bawah kontrak bernilai lebih kurang RM307 juta.
Chery Corporate Malaysia merupakan cabang serantau rasmi dan pengedar Chery Automobile Group dari China.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sapura Industrial berkata projek itu akan dilaksanakan di kemudahannya di Bukit Beruntung, Selangor, dalam tempoh 4.5 tahun dan menandakan penglibatan langsung pertama kumpulan itu dengan Chery.
“Projek ini mencerminkan langkah strategik dalam inisiatif pembuatan dan pemasangan syarikat serta subsidiarinya.
“Selain daripada sejajar dengan pelan penyetempatan Chery, ia juga menyokong Malaysia sebagai hab pembuatan automotif, meningkatkan akses kepada peluang pasaran baharu termasuk akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai rakan kongsi pertumbuhan yang dipercayai dalam pembuatan dan pemasangan industri termaju di Malaysia serta serantau,” kata pengeluar komponen automotif itu.
Projek itu dijangka bermula menjelang separuh kedua tahun kewangan kumpulan berakhir 31 Jan 2027, dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta perolehan sesahamnya untuk tahun kewangan tersebut.
Secara berasingan, Sapura Industrial berkata skop kontrak itu meliputi pemasangan sistem gandar untuk platform enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV) Chery seperti JAECOO J5 serta kenderaan di bawah jenama LEPAS.
Pengarah Urusan Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin berkata kontrak itu menonjolkan keyakinan pengeluar automotif global dalam rantaian bekalan automotif Malaysia dan rakan kongsi tempatan dengan kepakaran teknikal yang terbukti, kekuatan operasi serta standard kualiti yang tinggi.
“Kami berbesar hati untuk mewujudkan perkongsian jangka panjang dengan Chery, menyokong objektif penyetempatannya dan menyumbang kepada kemajuan industri automotif Malaysia,” kata beliau.
Naib Presiden Chery Corporate Malaysia, Cheng Namweng berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam cita-cita pengembangan serantau Chery, dengan menjadikan rakan kongsi tempatan yang berkebolehan kekal sebagai pusat strateginya.
"Kami telah melihat secara langsung profesionalisme, kepakaran teknikal dan responsif Sapura Industrial sepanjang penglibatan kami.
“Pasukan ini secara konsisten menunjukkan pelaksanaan yang mantap dan pendekatan yang mementingkan kualiti, malah, kami melihat Sapura Industrial mampu menjadi rakan kongsi yang dipercayai sambil kami terus berkembang,” katanya.
-- BERNAMA