Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kenaikan Harga Minyak Mentah
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya tinggi pada Jumaat, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah.
Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kenaikan harga minyak mentah meningkatkan prospek permintaan biodiesel, namun kebimbangan terhadap paras inventori MSM Malaysia yang tinggi terus mengehadkan kenaikan harga.
Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 dan Disember 2026 masing-masing meningkat RM58 kepada RM4,449 dan RM4,588 satu tan, manakala kontrak Januari 2027 menokok RM65 kepada RM4,681 satu tan.
Kontrak Februari 2027 meningkat RM61 kepada RM4,761 satu tan, kontrak Mac 2027 menokok RM53 kepada RM4,826 dan kontrak April 2027 naik RM42 kepada RM4,863 satu tan.
Jumlah dagangan susut kepada 97,010 lot daripada 110,477 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 337,166 kontrak berbanding 339,545 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan turut meningkat RM60 kepada RM4,460 satu tan.
-- BERNAMA