BERITA TERKINI   AKPS terajui tiga syor penambahbaikan keselamatan KLIA susulan insiden penahanan juruterbang di Jakarta - Saifuddin Nasution | AKPS sasar penghantaran keluar 1,259 kontena membawa e-waste menjelang hujung tahun ini - TKP AKPS | AKPS perkenal hologram di KLIA, bantu pengembara dapat maklumat ketibaan - TKP AKPS | 

Pelan Tindakan Sektor Kewangan Baharu Sasar Peranan Lebih Besar Bagi Kewangan Islam Dalam Transformasi Ekonomi Malaysia – Gabenor BNM

Oleh M.Saraswathi & Karina Imran

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mahu institusi kewangan Islam memainkan peranan yang lebih besar dalam membiayai fasa seterusnya transformasi ekonomi negara, satu aspirasi yang akan dicerminkan dalam pelan induk sektor kewangan yang dirancang pada 2027.

Bercakap kepada Bernama, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pelan tindakan itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperluas impak kewangan Islam, mempercepat inovasi, memperkukuh ekosistem kewangan dan meluaskan hubungan antarabangsa Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

“Kewangan Islam mesti memainkan peranan utama dalam menyokong perubahan ekonomi Malaysia. Ini termasuk menggembleng modal dan menyediakan penyelesaian bagi bidang pertumbuhan strategik seperti peralihan hijau, ekonomi halal dan pengembangan industri bernilai tinggi termasuk ekosistem elektrik dan elektronik (E&E).

“Inovasi mestilah mempunyai tujuan yang jelas. Ukuran sebenar kejayaan kewangan Islam bukanlah berdasarkan jumlah produk yang diperkenalkan tetapi impak bermakna yang dihasilkan oleh penyelesaian tersebut kepada perniagaan, masyarakat dan ekonomi secara keseluruhan,” kata Abdul Rasheed.

Kedua, kewangan Islam perlu berusaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Fasa seterusnya kewangan Islam bukan sekadar mengenai skala, tetapi juga impak. Kejayaannya harus dicerminkan melalui peningkatan taraf hidup, jaminan kewangan yang lebih kukuh, ekonomi yang lebih terangkum, perniagaan yang lebih berdaya tahan dan masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Beliau memberitahu BNM percaya bahawa kewangan Islam mampu memainkan peranan ini dan membuktikan nilainya melalui tindakan yang bermatlamat serta impak nyata dalam kehidupan sebenar.

Keutamaan lain ialah meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk antarabangsa bagi kewangan Islam, memperluas penerapan kewangan berasaskan nilai, memperkukuh pengukuran impak, memperdalam pasaran dan kecairan kewangan Islam serta menggalakkan penggunaan pelbagai kontrak syariah.

 

Malaysia Kekal Terbuka kepada Bank Islam Asing 

Mengenai kemungkinan membenarkan lebih banyak bank Islam asing beroperasi di Malaysia, Abdul Rasheed menegaskan negara ini kekal terbuka kepada kemasukan pemain baharu dengan syarat mereka dapat memberi nilai tambah yang bermakna kepada ekonomi.

“Kami tidak pernah menutup pintu. Sehubungan itu, mana-mana pihak baharu yang ingin memasuki pasaran akan dipertimbangkan berdasarkan keupayaan mereka untuk membawa masuk keupayaan tambahan selain menyokong keperluan ekonomi yang semakin berkembang,” katanya.

Mengenai penyatuan sektor perbankan, gabenor itu menjelaskan BNM akan terus mengguna pakai pendekatan berasaskan pasaran.

Bank pusat itu akan memudah cara penyatuan sekiranya langkah tersebut dapat mewujudkan institusi kewangan yang lebih kukuh dan berupaya menyokong perniagaan, individu serta ekonomi secara keseluruhan.

“Khususnya dari segi perubahan ekonomi termasuk ekonomi hijau, industri halal dan sektor semikonduktor. Oleh itu, kita mahu institusi kewangan yang mampu membiayai peluang pertumbuhan ini,” katanya.

 

Malaysia Kekal Menerajui Pasaran Sukuk Global 

Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran modal Islam global dengan aktiviti pasaran modal Islam menyumbang kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan pasaran modal negara pada 2025.

Malaysia juga menyumbang kira-kira 31.5 peratus daripada keseluruhan sukuk global yang masih belum ditebus sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam antarabangsa yang utama.

“Kami kekal sebagai peneraju dalam bidang ini. Terbitan sukuk antarabangsa kami telah mengukuhkan keyakinan pelabur,” katanya sambil merujuk kepada sukuk global Malaysia bernilai US$1.5 bilion yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur.

Sukuk itu menerima lebihan langganan sebanyak 4.7 kali dengan jumlah permintaan kemuncak melebihi US$9.5 bilion.

“Kami menerima permintaan yang sangat menggalakkan bagi terbitan ini dengan perbezaan kadar hasil terendah dalam sejarah kami. Bahagian 5.75 tahun ditetapkan pada 15 mata asas melebihi bon Perbendaharaan Amerika Syarikat manakala bahagian 10 tahun ditetapkan pada 25 mata asas melebihi penanda aras,” katanya.

Gabenor itu memberitahu, perbezaan kadar hasil berkenaan setanding dengan apa yang lazim dikaitkan dengan penerbit berdaulat berkadar AA, meskipun Malaysia mempunyai penarafan kredit dalam kategori A.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan Malaysia memanfaatkan kepakaran domestiknya dalam kewangan Islam di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.

 

Teknologi Memperluas Keterangkuman Kewangan 

Menyentuh mengenai teknologi, Abdul Rasheed berkata inovasi, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi memperluas keterangkuman kewangan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan.

“Kami mahu inovasi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada perniagaan, isi rumah, peminjam, ekonomi secara keseluruhan serta negara.

“Ia mesti melindungi kepentingan pelanggan. Lebih penting, inovasi itu mesti memberi nilai tambah sebenar kepada ekonomi,” katanya.

Beliau menekankan bahawa satu bidang yang mempunyai potensi besar ialah penggunaan data alternatif dan penilaian tingkah laku untuk menilai peminjam yang secara tradisinya tidak mendapat akses kepada pembiayaan formal disebabkan rekod kredit yang terhad.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada AEON Bank dan KAF Digital, dua bank Islam digital di Malaysia yang sudah menggunakan teknologi sedemikian untuk menilai tingkah laku pembayaran balik pelanggan dan menyalurkan pembiayaan kepada segmen yang sebelum ini kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.

“Pada masa lepas, pelanggan sedemikian tidak dapat dinilai kerana mereka tidak mempunyai data kewangan yang mencukupi atau rekod kredit formal.

“Perkembangan ini membolehkan institusi kewangan menyediakan perkhidmatan kepada individu dan perniagaan yang sebelum ini dianggap tidak layak mendapat perkhidmatan perbankan,” katanya.

Beliau menambah bahawa selain memperluas keterangkuman kewangan, teknologi dapat meningkatkan kecekapan penggemblengan dan pengagihan modal, menyalurkan pembiayaan kepada perniagaan produktif, mengurangkan kos urus niaga serta menjadi pemangkin berkesan kepada perubahan ekonomi.

-- BERNAMA