BERITA TERKINI   AKPS terajui tiga syor penambahbaikan keselamatan KLIA susulan insiden penahanan juruterbang di Jakarta - Saifuddin Nasution | AKPS sasar penghantaran keluar 1,259 kontena membawa e-waste menjelang hujung tahun ini - TKP AKPS | 

Zon Ekonomi Sibu Perlukan Kesalinghubungan Udara, Infrastruktur Berteknologi Tinggi

Oleh Frank Julian Martin

SIBU, Okt 26 (Bernama) -- Menambah baik kesalinghubungan udara dan infrastruktur berteknologi tinggi perlu diutamakan di bawah cadangan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) untuk menarik pelaburan, bakat berkemahiran dan industri bernilai tinggi ke bahagian tengah Sarawak, kata usahawan tempatan Dr Gregory Hii Sui Cheng.

Pengerusi Eksekutif Delta Leasing Bhd itu berkata meluaskan Lapangan Terbang Sibu dan menaik taraf kemudahannya amat penting untuk meningkatkan akses ke bandar itu serta menarik golongan profesional, penyelidik dan pakar industri untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan industri.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata SEZ itu juga perlu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital canggih dan kecerdasan buatan (AI) untuk memenuhi keperluan tenaga pada masa depan bagi pusat data dan industri lain yang dipacu teknologi.

“Sibu yang terletak di wilayah tengah Sarawak, perlu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital dan AI bernilai tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga pusat data dan industri lain pada masa depan,” kata bekas pegawai bank itu kepada Bernama.

Hii juga turut mencadangkan penubuhan taman perindustrian baharu untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengkhusus dalam pembangunan robotik melalui kerjasama dengan China dan negara-negara Eropah yang maju dari segi teknologi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu mengutamakan pembangunan taman pertanian moden yang dilengkapi teknologi canggih untuk menghasilkan produk pertanian bernilai tinggi.

Mengalu-alukan penglibatan Putrajaya dalam SEZ, beliau berkata sokongan kewangan daripada kerajaan Persekutuan merupakan komponen penting untuk merealisasikan pembangunan yang dicadangkan itu.

Cadangan beliau itu dikemukakan ketika kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak bersiap sedia untuk mengadakan rundingan rasmi berhubung penubuhan zon ekonomi itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas.

Rundingan itu akan memberi tumpuan kepada insentif pelaburan, penubuhan pusat sehenti untuk memudah cara pelaburan dan keperluan infrastruktur strategik bagi menyokong SEZ berkenaan.

Hii sebelum ini menyifatkan peruntukan awal RM1.5 bilion oleh kerajaan negeri untuk SEZ itu sebagai suntikan ekonomi yang amat diperlukan oleh Sibu, yang menurutnya ketinggalan berbanding Kuching, Bintulu dan Miri dari segi pembangunan sejak dua dekad lepas.

Beliau juga menggesa agar hubungan udara diperkukuh, termasuk penerbangan terus antara Sibu dan Singapura serta mengembalikan semula laluan Sibu-Kota Kinabalu menerusi syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh menegaskan kejayaan SEZ perlu diukur berdasarkan pelaburan sebenar, perniagaan yang mampan, peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dan peningkatan pendapatan, bukannya berdasarkan jumlah peruntukan pembangunan yang disediakan.

“Sehubungan itu, kita perlu bergerak pantas daripada pengumuman kepada perancangan, daripada perancangan kepada pelaksanaan dan daripada pelaksanaan kepada hasil yang boleh diukur,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 di Dewan Undangan Negeri pada 15 Okt lepas.

Wong mencadangkan pelan hala tuju lima tahun dari 2027 hingga 2031, bermula dengan penubuhan mekanisme tadbir urus, perancangan infrastruktur dan libat urus pelabur.

Di bawah pelan hala tuju itu, SEZ berkenaan perlu mula menunjukkan hasil nyata menjelang 2029, termasuk perniagaan yang mula beroperasi, kemudahan perindustrian dan peluang pekerjaan baharu.

Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah majlis perundingan pembangunan yang dianggotai wakil kerajaan, dewan perniagaan, pemain sektor swasta, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan komuniti bagi memastikan pelaksanaan yang diselaraskan serta penyertaan masyarakat tempatan yang lebih meluas.

Terdahulu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenal pasti pembuatan bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, agroindustri, logistik dan ekonomi hijau sebagai sektor utama yang akan memacu SEZ.

Inisiatif itu yang dirangka sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu bagi bahagian tengah Sarawak dan Lembangan Rajang, bertujuan menarik pelaburan domestik dan asing, mewujudkan peluang pekerjaan mahir dengan gaji lebih tinggi serta membuka pasaran dan rantaian bekalan baharu kepada PKS tempatan.

-- BERNAMA