HCK Capital Buka Galeri Jualan Perbandaran Di Semenyih, GDV RM1.3 Bilion
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- HCK Capital Group Bhd membuka galeri jualan bagi Hijauan Heights, pembangunan perbandaran bercampur-campur berstatus pegangan bebas seluas 35.26-ekar (14.26-hektar) di Semenyih, Selangor, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 bilion.
Dalam kenyataan hari ini, HCK Capital memaklumkan Hijauan Heights akan dibangunkan secara berperingkat bagi tempoh 2026 hingga 2033 dan menjadi sebahagian daripada siri “Tech & Trees” kumpulan itu.
“Galeri jualan itu membolehkan orang ramai melihat previu konsep di sebalik perbandaran Hijauan Heights serta cadangan pembangunan fasa pertama menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan pada November 2026.
“Fasa awal iaitu Cendana merangkumi sebanyak 156 unit rumah bandar pintar tiga tingkat dengan GDV kira-kira RM108.67 juta,” maklum kumpulan itu.
Kediaman itu mempunyai keluasan binaan 1,110 hingga 1,850 kaki persegi manakala fasa pembangunan seterusnya dirancang untuk turut merangkumi menara kediaman serta komponen komersial.
Pengarah Urusan Operasi dan Pengurusan Kumpulan Datuk Dennis Ling berkata pembangunan itu menawarkan pendekatan berbeza terhadap konsep kehidupan kediaman moden.
“Dari aspek reka bentuk seni bina dan persekitaran semula jadi sehinggalah ciri-ciri rumah pintar serta pengalaman menikmati kemudahan kelab, setiap elemen berkaitan telah diambil kira bagi memberi nilai tambah kepada komuniti di Semenyih,” katanya.
HCK Capital Group Bhd telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 21 Ogos 2000 dengan perniagaan awalnya menumpukan kejuruteraan industri serta perdagangan produk berkaitan getah.
Kumpulan itu kemudiannya berkembang dan menceburi pembangunan hartanah selepas Tan Sri Clement Hii menjadi pemegang saham pengendali.
-- BERNAMA