BERITA TERKINI   Seramai 24 individu telah dirakam percakapan bagi bantu siasatan kes murid serang guru - Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak | 

RAC Rangka Pelan 10 Tahun Pacu Perkhidmatan Kereta Api, Penggunaan Awam

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) membangunkan pelan strategik 10 tahun bagi meningkatkan kekerapan serta kebolehpercayaan perkhidmatan kereta api dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia beralih daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azhar Ahmad berkata pelan itu akan turut menentukan jumlah tren yang diperlukan bagi menampung pertumbuhan penduduk serta permintaan penumpang di masa akan datang.

Ad Banner

“Orang ramai perlukan perkhidmatan yang boleh diharapkan untuk yakin dengan pengangkutan awam. Kewujudan stesen dan infrastruktur rel juga tidak memadai jika tren itu hanya tiba sekali sejam,” katanya dalam temu bual Bernama Mobile Studio sempena Ekspo Pengangkutan Asia 2026 (TXA 2026).

Azhar berkata kerajaan sebelum ini mengumumkan rancangan penambahan sebanyak 42 tren yang dijangka memulakan operasi menjelang 2028.

“Langkah ini dijangka dapat meningkatkan lagi kekerapan perkhidmatan daripada setiap 30 minit kepada 10 hingga 15 minit,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau juga menyifatkan perkhidmatan kereta api yang lebih kerap dan diyakini, mampu menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam serta meningkatkan sumbangan atau bahagian dalam keseluruhan penggunaan mod pengangkutan.

Pada masa sama, beliau berkata RAC juga sedang mengenal pasti kaedah untuk menghidupkan semula aset-aset rel sedia ada dan membangunkan kawasan sekitar stesen-stesen kereta api menerusi pembangunan berorientasikan transit (TOD), menyepadu kemudahan pengangkutan dengan pembangunan komersial dan lain-lain.

Antara inisiatif yang dirancang adalah pembangunan Seremban Sentral dengan kerjasama Sunway Group manakala usaha serupa turut dipertimbangkan bagi stesen kereta api di Ipoh dan Kuala Lumpur

“Kami menggalakkan lebih banyak pembangunan berasaskan TOD. Pembangunan kereta api tidak seharusnya terhad kepada penyediaan perkhidmatan penumpang semata-mata, tetapi juga bagaimana kawasan sekitar stesen kereta api itu dapat dibangunkan.

“Pada akhirnya, kami mahu menyuntik nafas baharu, penggunaan semula dan menjana kembali aset-aset rel untuk memberi peranan  baharu serta mewujudkan nilai lebih hebat bagi orang awam,” katanya.

Azhar berkata TOD merupakan elemen penting kerana penambahbaikan penggunaan pengangkutan awam bukan hanya dengan meningkatkan bilangan tren yang beroperasi, tetapi pada masa sama turut memastikan pembangunan di sepanjang koridor kereta api bagi kemudahan orang ramai mengakses kawasan kediaman, komersial dan kemudahan lain tanpa bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian.

RAC juga, katanya, sedang berusaha untuk menarik penyertaan sektor swasta dalam pembangunan kereta api, termasuk terminal kargo dan pelabuhan darat bagi menyokong usaha kerajaan mengalihkan pengangkutan barangan atau kargo daripada jalan raya kepada pengangkutan rel.

Menerusi kerjasama sedemikian, RAC berharap dapat memanfaatkan pelaburan swasta untuk membangunkan perniagaan dan infrastruktur berkaitan kereta api tanpa meletakkan keseluruhan beban kewangan kepada kerajaan.

“Penghantaran barangan adalah satu perniagaan komersial. Sehubungan itu, kami dalam proses mengenal pasti cara untuk menarik pelaburan swasta tanpa bergantung kepada pembiayaan kerajaan. RAC sebagai pemilik aset, boleh memanfaatkan pelaburan sektor swasta bagi menyokong pembangunan kereta api.

“Kami turut meneliti pembangunan terminal kargo dan pelabuhan darat. Kami mahu membuka peluang kepada syarikat swasta dalam perniagaan kargo untuk mengambil bahagian, mengurus dan mengendalikan kemudahan berkenaan,” katanya.

Azhar berkata pembangunan sedemikian dapat memberi sokongan kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang kekal sebagai pengendali perkhidmatan kargo selain membolehkan industri berkembang melalui penyertaan sektor swasta.

“Menerusi kerjasama dengan kerajaan, syarikat swasta dan pengendali lain, kami dapat mengukuhkan lagi industri rel tanpa meletakkan keseluruhan beban kewangan kepada kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA