Bursa Malaysia Dibuka Rendah Seiring Prestasi Wall Street
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan rendah, menjejaki prestasi semalaman yang dicatatkan oleh pasaran Wall Street.
Pada 9.05 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.07 mata atau 0.06 peratus kepada 1,607.07 mata daripada paras penutup semalam 1,608.14 mata.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.07 mata lebih rendah pada paras 1,607.63 mata.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 205 berbanding 71 manakala 213 lain tidak berubah, 2,412 tidak diniagakan dan 16 kaunter digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 128.40 juta unit bernilai RM44.06 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata firma pembrokeran itu kekal berpendirian bahawa pasaran saham tempatan masih dinilai rendah dengan pasaran kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan sekitar 15 kali yang lebih rendah berbanding purata sebelum ini sebanyak 16.5 kali.
“Walaupun kami menjangkakan usaha pengumpulan saham berterusan, momentum pasaran dijangka kekal sederhana dan diunjur bergerak dalam julat 1,600 hingga 1,615 mata pada hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.97, RM7.15 dan RM7.99 manakala Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.73 dan Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM13.14.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI meningkat 1.5 sen kepada 6.5 sen, WTS Capital susut setengah sen kepada 17 sen manakala GIIB Holdings, Kinergy Advancement dan Compugates Holdings masing-masing tidak berubah pada 71.5 sen, 37.5 sen dan satu sen.
MISC mendahului kaunter saham paling untung dengan meraih 21 sen kepada RM8.46, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM4.58, MHC Plantations menokok lima sen kepada RM1.75 manakala Hengyuan Refining Company dan Suria Capital masing-masing menambah empat sen kepada RM4.09 dan RM1.16.
Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan LPI Capital susut 32 sen kepada RM12.94, Batu Kawan merosot 30 sen kepada RM19.00, United Plantations turun 18 sen kepada RM30.14 sementara Vitrox Corporation berkurangan 16 sen kepada RM10.42 dan MI Technovation kehilangan 12 sen kepada RM6.26.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 15.37 mata kepada 11,949.13 mata dan Indeks FBM Top 100 turun 14.01 mata kepada 11,755.82 mata.
Indeks FBM Mid 70 menguncup sebanyak 46.27 mata kepada 17,072.09 mata, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 21.44 mata kepada 11,910.54 mata dan Indeks FBM ACE susut 31.59 mata kepada 5,291.91 mata.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.22 mata kepada 18,604.78 mata manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.12 mata kepada 175.33 mata.
Indeks Perladangan pula berkurangan 23.69 mata kepada 8,638.98 mata dan Indeks Tenaga meningkat 0.11 mata kepada 831.91 mata.
-- BERNAMA