Bursa Malaysia Bercampur-campur Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia bercampur-campur semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini dalam keadaan sentimen pasaran yang berhati-hati.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.06 mata atau 0.19 peratus kepada 1,605.33 daripada 1,602.27 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks yang dibuka tinggi 2.49 mata kepada 1,604.76 bergerak antara 1,601.76 dan 1,605.79 sepanjang sesi dagangan pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 524 berbanding 339 manakala 494 kaunter tidak berubah, 1,543 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.58 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.
Apex Securities Bhd menjangka pemulihan FBM KLCI melepasi paras psikologi 1,600 mata mungkin memberi sedikit kelegaan dalam tempoh terdekat walaupun kenaikan semula itu masih terdedah kepada risiko berikutan tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing dan sentimen pasaran yang masih tidak stabil.
Menurut firma itu, harga minyak yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik terus mewujudkan risiko terhadap inflasi dan pendapatan korporat manakala pelabur dijangka kekal berhati-hati menjelang keputusan mengenai kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 29 Oktober.
“Pada peringkat domestik, pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan penilaian saham yang menarik susulan pembetulan pasaran baru-baru ini dijangka menggalakkan aktiviti belian saham pada harga rendah yang terpilih dalam saham mewah yang mempunyai asas kukuh.
“Bagaimanapun, pemulihan pasaran yang berterusan akan bergantung pada keadaan pasaran yang lebih baik dan aliran keluar dana asing yang berkurangan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM9.99, Public Bank dan CIMB, masing-masing menambah satu sen kepada RM4.74 dan RM7.15 manakala YTP Power menurun dua sen kepada RM5.32 dan Hong Leong Bank berkurangan empat sen kepada RM21.48.
Dalam dagangan aktif, RedPlanet yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik lapan sen kepada 27 sen, JAKS meningkat setengah sen kepada 17.5 sen, Zetrix AI mendatar pada lima sen dan VS Industry menurun setengah sen kepada 34 sen.
Kaunter paling untung ialah Bintulu Ports melonjak 30 sen kepada RM5.40, Kuala Lumpur Kepong meningkat 24 sen kepada RM20.32, United Plantations naik 20 sen kepada RM30.46 dan Hong Leong Industries menokok 18 sen kepada RM16.22.
Kaunter paling rugi termasuklah Malaysian Pacific dan Batu Kawan, masing-masing menurun 40 sen kepada RM40 dan RM19.08, MI Technology berkurangan 17 sen kepada RM6.46 dan UMS Integrated merosot 16 sen kepada RM7.34.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 menurun 62.59 mata kepada 17,149.01, Indeks FBM Emas meningkat 1.10 mata kepada 11,956.97 dan Indeks FBM Top 100 naik 5.56 mata kepada 11,759.99.
Indeks FBM Emas Shariah merosot 3.37 mata kepada 11,907.5 dan Indeks FBM ACE menurun 22.46 mata kepada 5,358.17.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.18 mata kepada 175.21, Indeks Perladangan menambah 25.31 mata kepada 8,645.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 11.48 mata kepada 18,620.17 dan Indeks Tenaga naik 2.29 mata kepada 823.52.
-- BERNAMA