BERITA TERKINI   Seramai 24 individu telah dirakam percakapan bagi bantu siasatan kes murid serang guru - Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak | 

Pengecualian Cukai Eksport MSM Dijangka Mampu Tangani Lebihan Bekalan

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Cadangan Malaysia untuk memberi pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 10 peratus pada November dilihat sebagai langkah tepat bagi mengatasi lebihan bekalan dan meningkatkan daya saing eksport, menurut Public Investment Bank Bhd (PIVB).

Menurut PIVB dalam satu nota hari ini, cadangan pengecualian itu dilaksanakan ketika Malaysia berusaha untuk meningkatkan penghantaran di tengah-tengah paras inventori minyak sawit yang tinggi.

Selain itu, difahamkan perbincangan antara Kementerian Perladangan dan Komoditi serta pihak industri mengenai cadangan tersebut dijadualkan berlangsung hari ini.

Ad Banner

Mengulas lanjut, PIVB menyatakan bahawa langkah itu dijangka mendapat sambutan baik daripada pihak industri dan mungkin berkuat kuasa tidak lama lagi.

“Pengecualian cukai eksport MSM akan membantu Malaysia menguasai kembali bahagian pasaran daripada Indonesia,” menurut PIVB.

Pada masa sama, PIVB turut mencadangkan agar pengecualian cukai tersebut dikekalkan sehingga inventori minyak sawit Malaysia berada di bawah dua juta tan. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Malaysia pernah memberi pengecualian sepenuhnya cukai eksport MSM selama enam bulan pada 2020.

Bagaimanapun, PIVB menyatakan bahawa pelaksanaan cadangan itu boleh memberi pelbagai kesan di sepanjang rantaian nilai minyak sawit.

Pemain di sektor huluan mungkin menerima manfaat daripada permintaan eksport yang lebih kukuh, manakala pemain di sektor hiliran pula mungkin berdepan tekanan margin berikutan kos bahan mentah yang lebih tinggi. 

-- BERNAMA