BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan Red Warrior FC 2-5 Star City FC | Raja Permaisuri Agong zahirkan keprihatinan terhadap kesihatan, pendidikan pelajar susulan situasi jerebu - Fadhlina | 

AI, Perdagangan Digital Luas Peluang Eksport PMKS Malaysia Ke Pasaran Global – Alibaba.com

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia dengan Alibaba.com penting untuk membantu perniagaan tempatan menembusi pasaran global, khususnya industri halal, menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan platform perdagangan digital.

Ketua Alibaba.com bagi Asia Selatan dan Asia Tenggara Roger Luo berkata kerjasama antara kerajaan, institusi kewangan dan rakan ekosistem dapat membantu lebih banyak produk Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

“Malaysia mempunyai keupayaan pembuatan yang kukuh, produk berkualiti dan industri halal yang berdaya saing di peringkat global. Namun, banyak PMKS masih berdepan cabaran memahami pasaran baharu dan kekangan sumber.

Ad Banner

“Justeru, kerjasama dalam bidang ini penting. Sebagai permulaan, kita boleh memberi tumpuan kepada hasil eksport, perdagangan digital, penggunaan AI dan pertukaran pasaran antarabangsa, khususnya bagi perniagaan halal Malaysia,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Alibaba.com B2B AI Seller Summit 2026 & CoCreate Pitch 2026.

Luo berkata Alibaba.com memperkenalkan pakej keahlian yang menawarkan peluang mendapatkan pembeli bagi meningkatkan keyakinan pengeksport Malaysia untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran global.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan menghubungkan penjual dengan pembeli berpotensi tinggi yang memenuhi kelayakan, termasuk pembeli kategori L3 Buyer (Platinum) yang menunjukkan minat pembelian lebih tinggi, nilai pembelian lebih besar serta rekod mendapatkan bekalan melalui Alibaba.com.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Alibaba.com dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa syarikat itu dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memajukan perdagangan digital dan kesiapsiagaan eksport, termasuk rancangan membangunkan Pavilion Halal khusus di Alibaba.com bagi mempamerkan produk halal Malaysia yang diperakui kepada pembeli antarabangsa.

Sidang kemuncak itu turut menandakan penyertaan sulung Malaysia dalam CoCreate Pitch, pertandingan global berasaskan produk anjuran Alibaba yang menerima lebih 2,300 permohonan daripada PMKS, syarikat pemula, bakal usahawan dan pelajar yang mempunyai idea inovatif di seluruh negara.

Sebanyak 10 pasukan mara ke peringkat akhir, dengan tiga pemenang utama berpeluang menghadiri CoCreate Global Summit 2026 di London pada November.

Tiga pemenang utama ialah Lettuboost, yang muncul sebagai juara menerusi wakilnya, pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Pavithran Julieus Sudhave, diikuti Global Cerah yang diwakili pengasas dan Pengarah Urusan Willie Ng, serta Eartheories yang diwakili pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Fadz Subari.

Pertandingan itu menawarkan jumlah hadiah RM500,000 bagi menyokong perkembangan perniagaan peserta akhir.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa UOB Malaysia akan menyokong PMKS tempatan menerusi kepakaran kewangan dan rangkaian serantaunya, sekali gus melengkapi ekosistem perdagangan digital Alibaba.com bagi membantu perniagaan mendapatkan penyelesaian pembiayaan dan meluaskan capaian antarabangsa.

-- BERNAMA