BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong zahirkan keprihatinan terhadap kesihatan, pendidikan pelajar susulan situasi jerebu - Fadhlina | Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu - MKN | Malaysia percepat kitaran reka bentuk semikonduktor dengan memanfaatkan IP Arm Ltd berlandaskan pengalaman 50 tahun dalam industri pembuatanĀ - Akmal Nasrullah | Hab semikonduktor persekutuan, negeri saling melengkapi, bukan pertindihan tugas antara satu sama lainĀ - Akmal Nasrullah | 

Anak Syarikat MBI Selangor Jalin Kerjasama Strategik Teroka Dark Fibre Network 2.0

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Smartsel Sdn Bhd dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), akan meneroka cadangan Selangor Dark Fibre Network 2.0 yang bertujuan memanfaatkan koridor utiliti sedia ada bagi membangunkan rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi.

Inisiatif itu bertujuan memenuhi permintaan terhadap ketersambungan yang semakin meningkat daripada pengendali telekomunikasi, pusat data, penyedia perkhidmatan awan, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan sektor perniagaan.

Kerjasama antara kedua-dua anak syarikat itu dimeterai hari ini menerusi pertukaran memorandum kerjasama (MoC) di Pavilion MBI sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.

Ad Banner

Kerjasama itu menggabungkan infrastruktur utiliti air Air Selangor dengan keupayaan infrastruktur digital dan teknologi Smartsel untuk membangunkan ketersambungan digital serta infrastruktur pintar di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Ts Saipolyazan M Yusop berkata kerjasama itu bertujuan menterjemahkan sinergi kumpulan kepada peluang komersial dan nilai tambah yang lebih besar untuk Selangor.

“Kita mesti beralih daripada pemikiran tradisional yang menganggap setiap syarikat beroperasi secara berasingan. Kita perlu mula melihat diri kita sebagai sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar, yang membolehkan aset sesebuah syarikat mewujudkan peluang untuk syarikat lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kedua-dua syarikat itu juga akan meneroka teknologi air pintar, termasuk penderiaan gentian optik, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan pemantauan masa nyata, bagi memperkukuh pemantauan saluran paip, membolehkan kebocoran dikesan lebih awal dan meningkatkan kecekapan operasi.

Smartsel dan Air Selangor akan menilai potensi penggunaan tapak tangki air bertingkat dan kolam takungan perkhidmatan terpilih untuk menempatkan infrastruktur telekomunikasi, pengkomputeran pinggir teragih dan pusat data modular, tertakluk kepada kebolehlaksanaan teknikal dan keperluan operasi.

“Kerjasama itu juga akan meneroka ketersambungan perusahaan, perkhidmatan teknologi maklumat terurus, perkhidmatan awan dan keselamatan siber untuk menyokong transformasi digital Air Selangor,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua syarikat berkenaan berhasrat mewujudkan rangka kerja bersama untuk menilai inisiatif keutamaan, meneliti kebolehlaksanaan teknikal dan komersial serta membangunkan pelan hala tuju pelaksanaan yang dipersetujui bersama.

-- BERNAMA