Pasaran Pusat Data Malaysia Dijangka Berkembang Pada CAGR 33 Peratus Dari 2025-2030 - S&P Global Ratings
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pasaran pusat data Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 33 peratus dari 2025 hingga 2030, menurut S&P Global Ratings.
Pengarah Penarafan Korporat S&P Global Ratings Ng Yi Jing berkata Malaysia merupakan pasaran pusat data yang berkembang pesat di rantau ini, mendapat manfaat daripada permintaan asas yang kukuh dan limpahan permintaan dari Singapura, yang mempunyai tanah dan utiliti yang terhad.
“Selepas beberapa tahun mencatatkan pertumbuhan kukuh, perkembangan pusat data di Malaysia kini melalui fasa penyesuaian semula berikutan peraturan yang lebih ketat,” katanya dalam webinar bertajuk, ‘Digital Infrastructure: Global Financing Trends and the Asia-Pacific Outlook’ hari ini.
Beliau berkata pertumbuhan pesat pusat data sejak beberapa tahun ini turut memberi tekanan kepada sektor bekalan elektrik dan air di Malaysia.
“Indonesia dan Thailand akan mendapat manfaat daripada limpahan permintaan dari Singapura dan Malaysia,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Infrastruktur Global dan Kewangan Projek S&P Global Ratings Pablo Lutereau berkata perbelanjaan modal kecerdasan buatan (AI) global akan melebihi US$1.3 trilion pada 2027 berbanding US$870 bilion pada 2026 dan US$470 bilion pada 2025.
Beliau berkata beban kerja dalaman syarikat, termasuk Microsoft CoPilot dan kontrak untuk tempoh beberapa tahun dengan makmal AI seperti OpenAI dan Anthropic, syarikat dan perusahaan berteraskan AI telah menyokong permintaan terhadap AI.
Lutereau berkata permintaan pusat data global dijangka meningkat dengan ketara sehingga 2030, dengan inferens AI diunjurkan mencatatkan pertumbuhan paling pesat pada CAGR 35 peratus dari 2025 hingga 2030, diikuti latihan AI pada 22 peratus dan beban kerja bukan AI pada 11 peratus.
Beliau berkata hutang di luar lembaran imbangan dalam kalangan pengendali pusat data berskala besar meningkat berikutan syarikat teknologi utama memperluas pelaburan dalam pusat data dan infrastruktur AI.
Menurut S&P Global Ratings, Microsoft mencatatkan komitmen pajakan masa depan tertinggi sebanyak US$329.1 bilion sehingga 30 Jun 2026, diikuti Meta (US$279 bilion), Oracle (US$260 bilion) dan Amazon (US$137.2 bilion).
Setakat 30 Jun 2026, Microsoft mencatatkan kapasiti hutang tertinggi sebanyak US$161.5 bilion, diikuti Alphabet (US$200.6 bilion), Meta (US$109.2 bilion), Amazon (US$80.7 bilion), SpaceX (US$78.5 bilion) dan Oracle (US$32.4 bilion).
-- BERNAMA