BERITA TERKINI   Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu - MKN | Malaysia percepat kitaran reka bentuk semikonduktor dengan memanfaatkan IP Arm Ltd berlandaskan pengalaman 50 tahun dalam industri pembuatan - Akmal Nasrullah | Hab semikonduktor persekutuan, negeri saling melengkapi, bukan pertindihan tugas antara satu sama lain - Akmal Nasrullah | KESUMA sediakan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan berpandukan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) - Ramanan | Tiada syarikat perladangan Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran di Indonesia - Fahmi | 

CILTM Sabah Sambut Baik Penyertaan Sektor Logistik Dalam Pelan Induk Pengangkutan 

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 16 Okt (Bernama) -- Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Sabah menyambut baik maklum balas positif Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah terhadap cadangannya supaya sektor logistik dimasukkan secara khusus dalam Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah yang sedang dirancang.

Pengerusi CILTM Sabah Daniel Doughty menyatakan perkara itu ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick di pejabatnya di sini hari ini.

Ad Banner

Menurutnya Ewon juga menjemput CILTM Sabah untuk menyertai pasukan petugas industri kementerian itu bagi memperkukuh penglibatan pemain industri dalam perancangan pembangunan negeri.

Doughty berkata penyertaan sektor logistik dalam pelan induk berkenaan akan membantu menangani isu kebolehpercayaan penghantaran, kos logistik dan akses pasaran, yang secara langsung akan mempengaruhi daya saing perniagaan serta harga barangan.

“Pelan induk yang komprehensif perlu meneliti keseluruhan perjalanan barangan, daripada pengeluar sehingga ke pasaran, dengan menghubungkan pelabuhan, lapangan terbang, jalan raya, perkapalan, pergudangan dan pengedaran dengan keperluan perindustrian serta keusahawanan negeri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut mengalu-alukan hasrat kementerian itu untuk meneruskan operasi Majlis Logistik Sabah sebagai platform bagi agensi kerajaan dan pemain industri menangani kesesakan operasi serta menyelaraskan penyelesaian yang melibatkan bidang kuasa berbeza.

Dalam perkembangan lain, Doughty menyatakan sokongan terhadap keputusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah untuk tidak lagi membenarkan kargo yang menuju ke Labuan melalui Pelabuhan Kota Kinabalu sebelum meneruskan perjalanan melalui jalan darat dan feri.

Beliau berkata kelonggaran itu diberikan semasa pandemik COVID-19 apabila sekatan kesihatan menjejaskan operasi perkhidmatan kapal yang berlabuh secara langsung di Labuan.

“Jika aturan khas itu diteruskan, ia berisiko mengurangkan jumlah kargo yang diperlukan bagi mengekalkan perkhidmatan perkapalan terus ke Labuan berdaya maju dari segi komersial,” katanya sambil memaklumkan penyelarasan dengan operator yang terjejas adalah penting untuk meminimumkan gangguan serta memperkukuh perkhidmatan langsung itu.

CILTM Sabah turut menjemput Ewon menghadiri forum awam anjurannya mengenai masa depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Doughty berkata forum yang dijadualkan berlangsung pada 7 Nov 2026 itu akan membawakan pembentangan pakar dan analisis mengenai sama ada KKIA perlu terus dibangunkan di lokasi sedia ada atau dipindahkan ke lokasi baharu.

Forum itu juga akan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyuarakan pandangan.

“Orang ramai memerlukan maklumat yang boleh dipercayai untuk menilai kos, manfaat dan implikasi setiap pilihan. Kami mahu kedua-dua pilihan dikaji secara adil, dengan memberikan peluang kepada peserta untuk mempersoalkan andaian yang digunakan dalam kajian serta menyumbangkan pandangan mereka,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Ewon mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri, dan menurutnya penyelarasan sektor pengangkutan, pembangunan perindustrian dan keusahawanan di bawah satu kementerian adalah penting bagi meningkatkan daya saing ekonomi Sabah.

Doughty berkata CILTM Sabah bersedia menyumbangkan kepakaran profesionalnya bagi membantu menterjemahkan kerjasama antara kerajaan dengan industri kepada penambahbaikan praktikal untuk perniagaan dan masyarakat.

-- BERNAMA