BERITA TERKINI   Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu - MKN | Malaysia percepat kitaran reka bentuk semikonduktor dengan memanfaatkan IP Arm Ltd berlandaskan pengalaman 50 tahun dalam industri pembuatan - Akmal Nasrullah | Hab semikonduktor persekutuan, negeri saling melengkapi, bukan pertindihan tugas antara satu sama lain - Akmal Nasrullah | KESUMA sediakan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan berpandukan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) - Ramanan | Tiada syarikat perladangan Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran di Indonesia - Fahmi | 

Belanjawan 2027 - RHB Kekal Jangkaan Pertumbuhan KDNK 2027 Malaysia Pada 4.9 Peratus

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- RHB Bank Bhd mengekalkan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2027 untuk Malaysia pada 4.9 peratus, berikutan pembentangan Belanjawan 2027.

Jangkaan itu menghampiri paras tertinggi unjuran rasmi kerajaan pada jajaran 4.2 hingga 5.2 peratus, katanya.

RHB melalui satu nota hari ini berkata Belanjawan 2027 dilihat mengambil pendekatan sederhana dalam mengembang dan menyokong pertumbuhan, mengimbangi pembinaan negara secara inklusif dengan kemampanan fiskal.

Ad Banner

“Kami berpendapat belanjawan itu amat menyokong ekonomi domestik dalam jangka pendek dan panjang, disalurkan melalui tiga keutamaan utama iaitu meningkatkan pendapatan isi rumah untuk mengekalkan penggunaan swasta, mengukuhkan daya tahan dan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta memangkin pelaburan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Penggunaan swasta akan disokong oleh langkah sokongan belanjawan melalui tiga aspek utama iaitu gaji yang lebih tinggi dan pendapatan isi rumah, bantuan tunai disasarkan serta langkah untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Parlimen pada 9 Okt lepas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Berjumlah RM459.8 bilion dalam perbelanjaan kerajaan persekutuan, belanjawan terdiri daripada RM376.8 bilion dalam perbelanjaan mengurus (OE) dan RM83 bilion dalam perbelanjaan pembangunan (DE).

RHB Bank berkata DE lebih tinggi sebanyak RM83 bilion (berbanding RM81 bilion dalam Belanjawan 2026), projek infrastruktur pengangkutan, zon ekonomi khas dan koridor ekonomi, serta insentif untuk industri strategik, sepatutnya membantu menarik pelaburan berkualiti selain menyokong peralihan Malaysia ke arah aktiviti bernilai tinggi dalam jangka sederhana.

Bank itu ketika mengulas mengenai kedudukan fiskal berkata penyatuan fiskal kekal di landasan yang betul, dengan defisit fiskal diunjurkan mengecil kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada 2027 daripada anggaran 3.6 peratus daripada KDNK pada 2026.

Hasilnya, jumlah hutang persekutuan dijangka merosot kepada 60.3 peratus daripada KDNK pada 2027 berbanding 62.9 peratus yang diunjurkan untuk 2026, menjadikan ia lebih hampir kepada siling berkanun sebanyak 60 peratus, katanya.

“Pertumbuhan hasil akan disokong oleh aktiviti ekonomi, penggunaan berdaya tahan dan pulangan daripada aset berkaitan kerajaan, manakala realisasi hasil dan kecekapan perbelanjaan kekal sebagai kunci untuk mencapai sasaran fiskal,” katanya lagi.

-- BERNAMA