Usaha Sama Gamuda-MiTAC Peroleh Kontrak MRT Keelung Di Taiwan Bernilai RM3.72 Bilion
KUALA LUMPUR, 14 Okt 14 (Bernama) -- Gamuda Bhd (Gamuda) menerusi usaha sama dengan MiTAC Information Technology Corp (MiTAC) yang berpangkalan di Taiwan, berjaya memperoleh kontrak bernilai NT$29.22 bilion (kira-kira RM3.72 bilion) bagi mereka bentuk dan membina sistem Transit Aliran Massa (MRT) Keelung serta projek kerja landasan di Taiwan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda menjelaskan bahawa syarikat itu memegang 72.84 peratus kepentingan penyertaan dalam JV tersebut, dengan bahagian kontraknya bernilai kira-kira RM2.71 bilion, manakala MiTAC memegang baki 27.16 peratus.
Menurut syarikat itu, kontrak tersebut telah dianugerahkan hari ini oleh Jabatan Sistem Transit Rapid Kerajaan Bandar Raya New Taipei.
“Projek MRT Keelung ini merangkumi kerja-kerja landasan dan sistem sepanjang jajaran sejauh 15.6 kilometer yang memberi perkhidmatan kepada 13 stesen,” menurut Gamuda.
Jajaran itu melibatkan Bandar Raya Taipei, Bandar Raya New Taipei dan Bandar Raya Keelung, dengan tempoh projek selama 2,820 hari atau kira-kira 7.7 tahun.
Menurut Gamuda, projek itu merupakan salah satu daripada kerja tambahan yang ditetapkan di bawah projek MRT Xizhi–Donghu, yang diperoleh syarikat tersebut pada 22 Oktober 2024.
“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Kumpulan Gamuda bermula tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 sehingga projek itu siap,” menurut Gamuda.
-- BERNAMA