MIDA Hubungkan 25 Firma Tempatan Dengan Syarikat TNB Teroka Peluang Dalam TBB

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menghubungkan 25 syarikat pembuatan dan perkhidmatan Malaysia dengan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO) dan TNB Renewables Sdn Bhd untuk meneroka peluang dalam rantaian bekalan tenaga boleh baharu (TBB).

Menurut MIDA dalam kenyataan hari ini, sesi padanan perniagaan itu diadakan di bawah Program Rantaian Bekalan Tenaga Boleh Baharu yang julung kali dianjurkan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata peralihan tenaga Malaysia bukan hanya mengenai meningkatkan kapasiti TBB; ia juga merupakan peluang untuk memperkukuh syarikat Malaysia, membangunkan keupayaan khusus dan menjana nilai ekonomi yang lebih besar dalam negara.

Ad Banner

“Di MIDA, kami mahu memastikan setiap pelaburan berkualiti mewujudkan hubungan yang bermakna dengan industri domestik dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem TBB yang lebih berdaya saing,” katanya.

Pengarah Urusan TNB GENCO Datuk Shahrir Abdul Latiff berkata syarikat komited untuk membantu syarikat Malaysia berkembang seiring dengan peluasan portfolio TBB.

“Kerjasama kami dengan MIDA menyediakan platform penting untuk menghubungkan pengilang, vendor dan penyedia perkhidmatan tempatan yang berkeupayaan dengan peluang sebenar dalam rangkaian projek kami, selain memperkukuh keupayaan domestik, menjana nilai ekonomi yang mampan dan menempatkan penyelesaian Malaysia pada kedudukan untuk memenuhi keperluan pasaran domestik dan serantau,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengarah Urusan TNB Renewables Elmie Fairul Mashuri berkata aspirasi syarikat bukan hanya meningkatkan kapasiti TBB.

“Seiring dengan perkembangan portfolio TBB kami, kami mahu setiap projek menjana nilai yang berkekalan untuk Malaysia dengan memperluas penyertaan tempatan dalam rantaian nilai TBB.

“Ini bermakna mewujudkan peluang bermakna kepada kontraktor, pengilang, vendor dan penyedia perkhidmatan Malaysia untuk membina keupayaan, berkembang seiring dengan rangkaian projek kami serta meningkatkan penyertaan secara berperingkat dalam bidang bernilai tambah tinggi seperti kejuruteraan, teknologi, pembinaan, operasi dan perkhidmatan khusus,” katanya.

-- BERNAMA