Sektor Pembinaan Di Landasan Tepat Untuk Lepasi Rekod Nilai Kontrak RM56 Bilion - HLIB

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sektor pembinaan Malaysia berada di landasan tepat untuk mengatasi rekod penganugerahan kontrak domestik bernilai RM56 bilion, disokong oleh projek berkaitan pusat data (DC) yang kukuh serta peluang yang semakin meluas dalam bidang infrastruktur tenaga dan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E).

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), nilai kontrak domestik diperoleh mencecah RM18.7 bilion pada suku ketiga 2026, peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding suku sebelumnya dan 75 peratus tahun ke tahun, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bagi tempoh sembilan bulan itu sebanyak RM46.4 bilion, iaitu peningkatan 17 peratus tahun ke tahun.

“Momentum positif yang berterusan itu sebahagian besarnya didorong oleh sektor pusat data (DC), dengan nilai kontrak yang dianugerahkan mencecah RM10 bilion yang luar biasa serta pemulihan dalam penukaran projek komersial dan kediaman kepada kontrak pembinaan.

Ad Banner

“Sementara itu, aktiviti infrastruktur kekal berdaya tahan, disokong oleh pemuktamadan pakej sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM3 bilion,” menurut HLIB dalam satu nota penyelidikan hari ini.

HLIB memaklumkan bahawa terdapat aliran peluang projek pusat data yang baik dan bersedia untuk dimuktamadkan pada suku keempat 2026, dijangka memacu prestasi kukuh menjelang akhir tahun tersebut, pada masa sama, pakej projek air Perak Utara dan Kontrak Utama Awam 2 (CMC2) bagi LRT Pulau Pinang juga berkemungkinan akan direalisasikan dalam suku berkenaan.

Menjelang 2027, ia menyatakan bahawa pelaksanaan projek di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dijangka menjadi satu lagi sumber utama pekerjaan pembinaan, disokong oleh permintaan yang meningkat terhadap tenaga hijau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kadar caj akses sistem (SAC) yang lebih rendah iaitu 14 sen setiap kilowatt-jam, ditambah pula dengan tarikh akhir operasi komersial menjelang penghujung 2028, sepatutnya merangsang permintaan terhadap tenaga hijau, terutamanya memandangkan projek pusat data yang baru diluluskan kini tertakluk kepada keperluan penggunaan 30 peratus tenaga boleh baharu, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, projek Sistem Transit Rapid Autonomi Bertingkat (ART) elektrik Johor berpotensi memacu aktiviti pembinaan pada 2027, walaupun masa pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) masih belum dapat dipastikan.

HLIB mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan, dengan mengambil kira pembangunan pusat data berterusan serta aliran projek kemudahan semikonduktor yang bakal muncul, faktor-faktor ini dijangka menyokong nilai perolehan kontrak untuk kontraktor bermodal besar serta penggiat industri kejuruteraan M&E.

Ia mengekalkan Gamuda sebagai pilihan utama bagi kategori syarikat bermodal besar dengan penarafan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM5.75, manakala Inta Bina Group Bhd menjadi pilihan utama bagi kategori syarikat bermodal kecil, juga dengan penarafan ‘beli’ dan pada harga sasaran 76 sen.

-- BERNAMA