Industri OGSE Perlu Perluas Skala Operasi, Inovasi Bagi Pacu Daya Saing - Petronas

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi dan membangunkan kelebihan untuk bersaing di pentas serantau dan global.

Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Rashidah Alias berkata ini berikutan industri OGSE Malaysia terbukti mencatat kemajuan besar sejak beberapa tahun lepas, melakar prestasi kukuh dalam melaksanakan projek yang kian sukar serta penyelesaian bersepadu di serata rantaian nilai tenaga.

“Industri ini secara amnya telah membuktikan kemampuannya. Cabaran berikutnya adalah bagaimana kita dapat memperluas skala operasi, mengukuhkan kelebihan (yang membezakan dengan pesaing) dan membangunkan penyelesaian yang dapat bersaing melangkaui pasaran domestik.

Ad Banner

“Malaysia sudah mempunyai asas yang kukuh. Peluang yang terbentang sekarang adalah untuk  memanfaatkan asas berkenaan menerusi kerjasama lebih hebat, pelaburan dalam inovasi selain penambahbaikan keupayaan secara berterusan agar syarikat kita kekal relevan dan berdaya saing dalam industri yang berkembang pesat,” katanya.

Rashidah berkata demikian pada sesi bual santai bertemakan ‘Building a Resilient Malaysian OGSE Ecosystem from Petronas’ Perspective’ pada acara Oil and Gas Asia (OGA) 2026 pada 2-4 Sept, 2026.

Sesi itu dikendalikan oleh Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) Zahris Sham Abu Musa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengulas selanjutnya, Rashidah turut menekankan kepentingan aspek kerjasama yang berupaya menjadi pemangkin berkesan bagi pertumbuhan dengan membolehkan syarikat menggabungkan kekuatan serta kepakaran masing-masing, meneroka peluang lebih besar serta melabur secara berkesan dalam teknologi, pembangunan bakat dan inovasi.

Pada masa sama, beliau berkata kemajuan jangka panjang perlu terus bertunjangkan disiplin pasaran dan daya saing.

“Pembangunan keupayaan dan daya saing itu perlu seiringan. Daya saing menjadi asas bagi penambahbaikan atau peningkatan yang berterusan kerana memacu inovasi, produktiviti dan pembangunan keupayaan yang membolehkan syarikat bersaing dengan yakin di pasaran serta senario operasi yang berbeza.

“Pada akhirnya, kejayaan itu dapat dilihat apabila syarikat kita diiktiraf dalam kalangan yang terbaik industri dari segi keupayaan, inovasi dan pelaksanaan yang cemerlang,” katanya.

Rashidah juga menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam teknologi, bakat dan penyelesaian proprietari, dengan menyatakan bahawa daya saing masa depan akan bergantung pada keupayaan syarikat untuk meningkatkan produktiviti, penyampaian nilai yang berbeza serta kemampuan untuk melakukan penyesuaian dengan permintaan pasaran yang berubah-ubah.

Petronas, kata beliau, kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan industri seperti MOGSC dan Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) bagi mengukuhkan lagi daya tahan, daya saing serta kemampanan jangka panjang ekosistem OGSE Malaysia.

Sementara itu, dalam sesi berasingan, Pengurus Besar Kanan Perolehan Kumpulan Petronas (Pemerolehan Hiliran dan Gas), Wee Lian Hong berkata syarikat itu sedang memberi tumpuan berterusan terhadap pengukuhan dalam keupayaan industri, usaha kemampanan, akses kepada pembiayaan termasuk memupuk kerjasama lebih erat dengan pemain industri melalui pelbagai inisiatif strategik.

Program Pembangunan Vendor (VDP) Petronas misalnya, kekal salah satu inisiatif utama kumpulan untuk membangunkan syarikat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, dengan membuat lanjutan kepada VDPx melalui kerjasama dengan pemain industri utama bagi mempercepatkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sehingga kini, Petronas telah memupuk kira-kira 170 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif VDP dan VDPx dengan kejayaan sejumlah 20 syarikat berkembang ke pasaran antarabangsa. Melalui Program Pembiayaan Vendor (VFP), Petronas juga telah bekerjasama dengan sembilan panel bank untuk memudahkan akses kepada pembiayaan bagi vendor yang layak dalam pembiayaan kira-kira RM2 bilion, yang disediakan oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai.

“Dari segi kemampanan, Program Sokongan Pembekal Petronas ditawarkan tanpa sebarang kos kepada vendor yang mengambil bahagian dan telah menerima kira-kira 1,082 pembekal dengan lebih 35 sesi latihan dijalankan untuk mengukuhkan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pelaporan kemampanan,” katanya.

Beliau berkata Petronas juga akan terus menyediakan platform berstruktur dan sokongan pemangkin melalui inisiatif yang bertujuan mengukuhkan daya saing, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang sektor OGSE.

-- BERNAMA