Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Harga Minyak Kacang Soya Kukuh
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng memberitahu Bernama, permintaan eksport yang meningkat pada Oktober turut menyumbang kepada kenaikan harga niaga hadapan MSM walaupun terdapat kebimbangan mengenai paras inventori domestik yang tinggi.
Menurut Amspec Agri Malaysia, eksport minyak sawit Malaysia meningkat 37.73 peratus atau 134,760 tan kepada 491,954 tan bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober berbanding 357,194 tan dalam tempoh yang sama pada September.
Sementara itu, Intertek Testing Services melaporkan eksport menokok 33.51 peratus atau 131,776 tan kepada 525,071 tan bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober berbanding 393,295 tan pada 1 hingga 10 September.
Semalam, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan pengeluaran MSM meningkat 16.48 peratus atau 299,451 tan kepada 2.11 juta tan pada September.
Pada akhir dagangan, kontrak Oktober 2026 meningkat RM198 kepada RM4,398 satu tan, November 2026 naik RM61 kepada RM4,559 satu tan dan Disember 2026 menokok RM45 kepada RM4,682 satu tan.
Kontrak Januari 2027 pula naik RM29 kepada RM4,787 satu tan, Februari 2027 meningkat RM13 kepada RM4,875 satu tan dan Mac 2027 menambah RM5 kepada RM4,960 satu tan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 109,117 lot daripada 103,981 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 331,818 kontrak daripada 333,723 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi Oktober Selatan menyusut RM30 kepada RM4,470 satu tan.
-- BERNAMA