Malaysia Sasar Defisit Di Bawah Tiga Peratus Dalam Tempoh Dua Tahun - Amir Hamzah
Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 13 Okt (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi penyatuan fiskal, pembaharuan subsidi bersasar dan penglibatan sektor swasta yang lebih kukuh, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Amir Hamzah berkata Malaysia telah mengurangkan defisit fiskal daripada 6.4 peratus KDNK kira-kira lima tahun lepas kepada 3.7 peratus pada tahun lalu, sekali gus meletakkan negara di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran tersebut.
Berucap pada Seminar Peringkat Tinggi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai Mitigasi Risiko Negara di Negara-negara yang Mempunyai Akses Pasaran di sini pada Selasa, beliau berkata penyatuan fiskal akan mewujudkan ruang fiskal, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran hutang antarabangsa serta meningkatkan keupayaannya untuk menghadapi cabaran masa depan.
Amir Hamzah berkata pembaharuan subsidi adalah penting bagi memastikan dana awam digunakan secara cekap, dengan bantuan disalurkan kepada golongan yang paling memerlukannya.
"Subsidi yang tidak bersasar sebenarnya membazirkan banyak wang. Apa yang penting ialah mengenal pasti kumpulan tersebut dan memastikan mekanisme digunakan berdaya kukuh untuk melindungi mereka," katanya.
Beliau berkata penjimatan daripada subsidi bersasar boleh disalurkan semula kepada sektor lebih produktif, manakala pendigitalan dan sistem yang ditambah baik akan membantu kerajaan mengenal pasti penerima yang layak dengan lebih tepat.
Asas ekonomi Malaysia kekal menyokong usaha penyatuan fiskal negara, dengan pertumbuhan KDNK melebihi lima peratus, inflasi di bawah dua peratus dan kadar pengangguran sekitar tiga peratus, katanya.
Bagaimanapun, Amir Hamzah menegaskan bahawa pembaharuan mesti melindungi golongan rentan selain daripada mengekalkan pertumbuhan dan menggalakkan penglibatan sektor swasta yang lebih besar bagi mengurangkan pergantungan kepada perbelanjaan kerajaan.
Beliau berkata aktiviti pelaburan telah mengukuh, dengan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik menyumbang secara seimbang kepada momentum ekonomi negara.
Mengenai pengurusan hutang, beliau berkata Malaysia memberi tumpuan kepada memperkukuh pasaran modal domestik bagi meningkatkan fleksibiliti pembiayaan, menyokong pertumbuhan mampan dan mewujudkan peluang untuk pelabur swasta.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan penampan kewangan yang mencukupi bagi menghadapi potensi kejutan ekonomi dan kewangan.
Amir Hamzah berkata kejelasan dasar dan pelaksanaan yang konsisten adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur serta memastikan akses boleh dijangka kepada pasaran modal.
Terdahulu, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan IMF dan Kumpulan Bank Dunia 2026 yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Centre, di sini dari 12 hingga 18 Oktober.
-- BERNAMA