BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sepang, Kuantan dan Rompin turut ditutup esok - Fadhlina | Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya ditutup esok - Fadhlina | 

Korporat Malaysia Perlu Manfaat Belanjawan 2027 Untuk Tingkat Pelaburan, Produktiviti

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Sektor korporat Malaysia harus menggunakan peluang dalam Belanjawan 2027 untuk meningkatkan pelaburan, menambah baik produktiviti dan membina perniagaan yang lebih mampan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa, menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairi Shahrin Arief Baki berkata belanjawan berkenaan memberi perniagaan lebih banyak instrumen untuk melabur dalam teknologi, kemahiran, kelestarian dan kapasiti produktif di tengah-tengah cabaran global.

"Kerajaan boleh menyediakan prasyarat, menghapuskan halangan dan membina asas. Sama ada asas tersebut bertukar menjadi perniagaan yang lebih kukuh, pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi, akhirnya bergantung kepada syarikat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

CGS MY memberitahu langkah yang menyokong perubahan korporat merangkumi elaun modal dipercepatkan bagi loji dan jentera buatan tempatan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi serta perisian yang dilanjutkan sehingga akhir 2030.

Inisiatif lain termasuk elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek dan aset teknologi hijau yang layak serta sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerapkan kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Belanjawan 2027 mencadangkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, namun perusahaan mikro, kecil dan sederhana PMKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan tersebut.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menaikkan penanda aras gaji kehidupan wajar kepada RM3,400 sebulan.

Langkah lain berkaitan gaji dan pembangunan tenaga kerja termasuk peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta potongan cukai kepada syarikat yang menyertai program latihan BAKAT MADANI.

“Paras gaji minimum yang lebih tinggi bukan sekadar meningkatkan kos menjalankan perniagaan. Ia memberi isyarat kepada syarikat bahawa model perniagaan berasaskan gaji rendah dan produktiviti rendah semakin tidak lagi mampan.

“Langkah ke hadapan adalah dengan melabur dalam kemahiran, teknologi, automasi dan reka bentuk pekerjaan yang lebih baik supaya kenaikan gaji disokong oleh peningkatan produktiviti,” kata Khairi.

Beliau menyatakan peningkatan produktiviti tanpa gaji yang lebih baik menyebabkan isi rumah tidak menikmati hasil pertumbuhan ekonomi manakala kenaikan gaji tanpa peningkatan produktiviti tidak dapat dikekalkan.

“Malaysia memerlukan kedua-duanya dengan peningkatan yang seiring,” tambahnya.

Khairi berkata pendekatan yang sama turut terpakai dalam aspek kelestarian. Dengan insentif pelaburan hijau yang lebih kukuh dan penetapan harga karbon dalam agenda dasar, syarikat yang mengambil langkah awal akan mempunyai lebih banyak kawalan terhadap kadar pelaksanaan dan kos peralihan tersebut.

“Penetapan harga karbon semakin menjadi sebahagian daripada landskap perniagaan Malaysia. Syarikat boleh menganggapnya sebagai isu pematuhan atau menjadikannya pemangkin untuk meningkatkan kecekapan dan daya tahan perniagaan.

“Amalan kelestarian yang dilaksanakan dengan baik mampu menjadi pemacu produktiviti, daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.

Selain langkah tersebut, Khairi memaklumkan pelaburan awam dalam pengangkutan, bekalan air, kesalinghubungan digital, perumahan dan infrastruktur perindustrian memperluas kawasan di Malaysia yang berpotensi menarik pelaburan sekali gus mewujudkan pusat pelaburan, peluang pekerjaan dan permintaan baharu.

Sementara itu, Ketua Negara CGS MY Alan Inn berkata ketidaktentuan global mengukuhkan keperluan bagi syarikat mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.

“Daya tahan bukan sekadar mempunyai lembaran imbangan yang kukuh. Syarikat yang bergantung pada satu pasaran, satu rantaian bekalan atau satu sumber kelebihan hanya akan kukuh mengikut keadaan di sekelilingnya.

“Syarikat perlu bersedia memperoleh keupayaan baharu, mengembangkan perniagaan ke seluruh ASEAN dan pasaran di luar rantau ini serta membangunkan perniagaan yang mampu memasarkan produk dan menjana pendapatan merentasi sempadan,” tambahnya.

CGS MY menyatakan Belanjawan 2027 memperuntukkan RM1 bilion dalam jaminan pembiayaan bagi syarikat tempatan yang berkembang menerusi penggabungan dan pengambilalihan.

Ia juga menyasarkan tempoh pemprosesan lima hari bekerja bagi permohonan Pas Penggajian untuk syarikat disenaraikan yang mempunyai status MyABE serta menyokong penyenaraian berkembar di Malaysia dan Hong Kong dengan geran padanan untuk kos penyenaraian.

“Pengembangan perniagaan di rantau ini, pengambilalihan dan pembangunan teknologi secara besar-besaran memerlukan modal. Akses yang lebih luas kepada pelabur domestik dan antarabangsa memberi keupayaan kewangan kepada perniagaan Malaysia untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Peluangnya bukan sekadar memanfaatkan insentif satu demi satu, tetapi menggunakannya untuk melakukan perubahan perniagaan,” kata Inn.

Khairi turut menekankan bahawa Program MY Value Up yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia pada 2026, berpotensi memperkukuh peralihan tersebut.

Program itu menggalakkan syarikat tersenarai menggariskan strategi pertumbuhan, sasaran dan keutamaan peruntukan modal dengan lebih jelas manakala syarikat yang disasarkan dijangka mula menerbitkan pelan MY Value Up masing-masing pada 2027.

“Belanjawan 2027 menyediakan pelbagai prasyarat bagi membolehkan perubahan dilaksanakan. Program MY Value Up dapat membantu syarikat tersenarai menterjemahkan prasyarat tersebut kepada strategi yang jelas, peruntukan modal yang berdisiplin serta penciptaan nilai yang boleh diukur,” katanya.

-- BERNAMA