BERITA TERKINI   Dua wanita maut kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan lori di Jalan Yong Peng-Ayer Hitam,Johor petang tadi - Bomba | Piala FA: JDT 4-1 Penang FC | Belanjawan 2027 bukti komitmen kerajaan tangani permasalahan rakyat khususnya golongan M40 - TPM Ahmad Zahid | Belanjawan 2027: Kerajaan setuju naikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan kepada 490 hari daripada 360 hari | Belanjawan 2027: Kadar pencen terendah akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, manfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan | 

Peruntukan Tambahan RM5 Bln SME SRF BNM Akan Memanfaatkan 9,000 PKS

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peruntukan tambahan sebanyak RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk Kemudahan Bantuan Penstabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 9,000 lagi PKS, termasuk perusahaan mikro, dengan menyediakan akses kepada modal kerja mampu milik.

Bank pusat itu memaklumkan bahawa bantuan tambahan tersebut juga akan membantu PKS menguruskan tekanan aliran tunai sementara, mengekalkan operasi, dan mengukuhkan daya tahan perniagaan dalam persekitaran kesan ekonomi akibat konflik Asia Barat yang sedang berlaku.

"Setakat 30 September, 2026, pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion di bawah peruntukan awal RM5 bilion kemudahan itu telah diluluskan, memberi manfaat kepada lebih 6,800 akaun PKS," menurut BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

Menurut BNM, SME SRF akan terus tersedia untuk PKS yang terjejas merentas semua sektor ekonomi sehingga 30 Jun, 2027 atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semasa pembentangan Belanjawan 2027 hari ini bahawa BNM telah bersetuju untuk menambah RM5 bilion lagi bagi menyokong PKS yang terjejas akibat konflik Asia Barat.

Mengenai pelaksanaan CAKNA, BNM menyatakan bahawa skim itu akan diperkukuh lagi bagi meluaskan akses kepada modal kerja untuk kontraktor kecil (G1-G4) yang melaksanakan projek kerajaan serta membantu menyokong penyempurnaan projek mengikut jadual.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Bagi mengurangkan lagi kos pembiayaan, layanan duti setem nominal RM10 untuk perjanjian pembiayaan CAKNA I dan II juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember, 2030," katanya.

 

MediAsas

Mengenai MediAsas, BNM menyatakan bahawa pelan insurans dan takaful perubatan serta kesihatan secara sukarela itu akan diperkenalkan kepada orang ramai pada Januari, 2027.

Premium atau sumbangan yang dibayar untuk pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) sukarela itu layak mendapat pelepasan cukai pendapatan, dan pelepasan cukai tersebut boleh dituntut bagi perlindungan yang dibeli untuk diri sendiri serta ahli keluarga terdekat, menurut BNM.

Selain itu, BNM memaklumkan sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan bagi menyediakan baucar MediAsas kepada pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja, bagi menggalakkan perlindungan yang lebih meluas untuk golongan pekerja yang mungkin pada masa ini mempunyai perlindungan insurans atau takaful kesihatan (MHIT) yang terhad atau tiada langsung.

 

Kad Kredit Asas

Sementara itu, BNM menyatakan bahawa pihak bank akan mula menawarkan kad kredit asas (BCC) secara berperingkat mulai Oktober, 2026.

Kad tersebut akan mempunyai struktur yang dipermudah tanpa program ganjaran atau pulangan tunai, serta kadar faedah atau keuntungan maksimum sebanyak 14 peratus setahun.

"Pemegang kad sedia ada boleh beralih kepada BCC dan memindahkan baki tertunggak yang layak, sekali gus membolehkan mereka menikmati kos pembiayaan yang lebih rendah serta menyokong penggunaan kredit dan pengurusan hutang secara bertanggungjawab," menurut BNM.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata Belanjawan 2027 mencerminkan pendekatan seimbang yang terus memacu pembaharuan penting dan menyokong isi rumah dan perniagaan di sebalik ketidaktentuan global yang berterusan.

"Belanjawan ini memberi penekanan yang lebih besar terhadap pengukuhan daya tahan ekonomi Malaysia, peningkatan pendapatan, penambahbaikan kemampuan penjagaan kesihatan dan sokongan terhadap pelaburan produktif serta mengekalkan disiplin fiskal.

"Melangkah ke depan, cabaran utama adalah untuk memastikan produktiviti, inovasi dan pelaburan terus diperkukuh seiring dengan peningkatan pendapatan, supaya pertumbuhan kekal mampan dan manfaatnya dapat dikongsi secara meluas," katanya.

-- BERNAMA