BERITA TERKINI   Dua wanita maut kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan lori di Jalan Yong Peng-Ayer Hitam,Johor petang tadi - Bomba | Piala FA: JDT 4-1 Penang FC | Belanjawan 2027 bukti komitmen kerajaan tangani permasalahan rakyat khususnya golongan M40 - TPM Ahmad Zahid | Belanjawan 2027: Kerajaan setuju naikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan kepada 490 hari daripada 360 hari | Belanjawan 2027: Kadar pencen terendah akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, manfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan | 

Belanjawan 2027 Perkukuh Akses Pembiayaan, Tingkat Peluang Perolehan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pengumuman peningkatan nilai perolehan Kerajaan yang dikhususkan kepada kontraktor bumiputera G1 hingga G4 merupakan langkah penting dalam memperluas peluang penyertaan syarikat bumiputera dalam rantaian nilai ekonomi negara.

Pada masa yang sama, peruntukan pembiayaan sehingga RM1 bilion melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan memperkukuh akses syarikat bumiputera kepada modal, khususnya bagi membantu perusahaan berkembang, meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing serta menembusi pasaran baharu.

Ketua pegawai eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata Belanjawan 2027 mencerminkan peralihan penting daripada sekadar meningkatkan penyertaan kepada usaha membina syarikat bumiputera yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan berkeupayaan untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.

Ad Banner

“Kami melihat Belanjawan 2027 sebagai pengukuhan kepada pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), khususnya dalam memastikan peluang yang diwujudkan diterjemahkan kepada pertumbuhan sebenar syarikat bumiputera.

“Fokus bukan hanya kepada akses kepada pembiayaan dan perolehan, tetapi juga kepada pembinaan kapasiti, inovasi, peluasan pasaran dan peningkatan skala perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TERAJU turut menyambut baik sasaran RM58 bilion nilai perolehan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petroliam Nasional Bhd daripada syarikat Bumiputera, serta usaha memperbaharui garis panduan perolehan GLC yang akan turut mengambil kira pertumbuhan syarikat, inovasi dan keupayaan menembusi pasaran baharu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pendekatan ini berpotensi mengubah peranan syarikat bumiputera daripada sekadar vendor kepada rakan strategik dalam rantaian bekalan dan ekosistem industri, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Secara keseluruhannya, TERAJU melihat Belanjawan 2027 sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi bumiputera melalui akses kepada pembiayaan, peluang perolehan, pelaburan strategik, pembangunan kapasiti dan peluasan pasaran.

“Usaha ini bukan sahaja menyokong pencapaian sasaran PuTERA35, malah turut memperkukuh fungsi dan peranan TERAJU sebagai peneraju agenda bumiputera, khususnya dalam memacu pertumbuhan dan meningkatkan daya saing serta keupayaan syarikat bumiputera untuk menyumbang dengan lebih signifikan kepada ekonomi negara menjelang 2035,” katanya.

-- BERNAMA