CILTM Sabah Gesa Logistik Dimasukkan Dalam Pelan Induk Pengangkutan Negeri
LABUAN, 9 Okt (Bernama) -- Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Seksyen Sabah menggesa supaya sektor logistik dimasukkan secara jelas dalam cadangan Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah.
Hal ini bagi memastikan perancangan infrastruktur pengangkutan dan rantaian bekalan dilakukan secara bersepadu.
Pengerusinya Daniel Doughty berkata Terma Rujukan bagi pelan itu perlu merangkumi keseluruhan rantaian bekalan termasuk proses pengumpulan, penyimpanan, penyatuan, pelepasan kastam dan penghantaran barangan ke pasaran.
Beliau mencadangkan supaya pelan itu dinamakan semula sebagai Pelan Induk Logistik dan Pengangkutan Sabah dengan kemampanan dijadikan prinsip panduan bagi kedua-dua sektor berkenaan.
“Kami menyambut baik inisiatif pengangkutan mampan ini.
“Cadangan kami adalah untuk memperluas skopnya dengan merangkumi sektor logistik secara menyeluruh bagi memastikan infrastruktur dan perkhidmatan pengangkutan dirancang secara bersepadu dengan rantaian bekalan yang disokong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Doughty mengemukakan cadangan itu semasa sesi mengenai hubungan kesalinghubungan darat-laut, penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penglibatan komuniti pada Persidangan Sabah 2026 yang pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.
Beliau memberitahu inisiatif berkenaan masih di peringkat awal dengan Terma Rujukannya sedang dirangka sekali gus memberi peluang untuk memperluas skopnya sebelum kajian dimuktamadkan.
Beliau berkata perancangan logistik perlu merangkumi pusat pengumpulan, kemudahan pergudangan, kemudahan rantaian sejuk, penyatuan kargo, dokumentasi dan prosedur pelepasan kastam.
Selain itu hubungan dengan pelabuhan serta jadual penghantaran selain kesalinghubungan penumpang dan pengangkutan barangan merentasi pelbagai mod pengangkutan.
“Jalan raya menghubungkan tempat. Rantaian bekalan yang berfungsi dengan baik pula menghubungkan sumber mata pencarian dengan pasaran.
“Bagi petani, nelayan dan perusahaan kecil, penambahbaikan pengangkutan perlu disokong oleh kemudahan penyimpanan, pengendalian dan penghantaran seterusnya yang boleh dipercayai supaya produk mereka sampai kepada pembeli dan dapat mengekalkan nilainya,” katanya.
Mengenai koridor ekonomi yang dicadangkan pada persidangan itu, Doughty menggesa agar kajian kebolehlaksanaan ekonomi dan logistik yang terperinci dijalankan bagi menentukan daya maju koridor berkenaan serta menterjemahkan cadangan itu kepada peluang pembangunan yang praktikal.
Beliau menyatakan kajian itu perlu menilai bakal pembeli, pengeluaran sedia ada dan unjuran pengeluaran, jumlah kargo, corak perdagangan, kargo muatan balik, jumlah kos logistik serta kekerapan perkhidmatan yang boleh dipercayai.
Kajian itu juga perlu meneliti aspek bekalan tenaga, ketersediaan tanah, kemahiran, pembiayaan dan keperluan alam sekitar.
“Kargo sedia ada penting, namun industri baharu juga boleh mewujudkan permintaan terhadap kesalinghubungan baharu. Kedua-duanya perlu dinilai dengan teliti berdasarkan sokongan pelanggan yang berpotensi dan berwibawa, komitmen pelaburan serta garis masa yang realistik,” katanya.
Doughty menjelaskan koridor yang dikenal pasti berdaya maju perlu dimasukkan ke dalam pelan induk logistik dan pengangkutan negeri pada masa hadapan serta diselaraskan.
“Kajian koridor dan pelan induk perlu saling melengkapi. Peluang ekonomi yang berdaya maju perlu menjadi asas kepada perancangan manakala dapatan pelan induk itu pula harus membantu memperhalusi reka bentuk koridor dan menentukan turutan pelaburan berdasarkan bukti serta tahap kesediaan,” katanya.
Beliau turut menggesa agar Terma Rujukan itu mentakrifkan dengan jelas tanggungjawab setiap institusi, menetapkan agensi peneraju penyelarasan, menentukan pencapaian utama pelaksanaan serta menyediakan mekanisme untuk menangani jurang penyelarasan.
Pengeluar, pengendali, PKS serta komuniti juga perlu dilibatkan dalam proses perancangan dengan langkah praktikal diambil untuk meningkatkan akses penduduk tempatan kepada peluang pembangunan kemahiran, pembiayaan dan kontrak perniagaan.
“Skop yang diperluas itu mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang boleh dipertanggungjawabkan.
“Kejayaan perlu diukur berdasarkan kos logistik yang berpatutan, perkhidmatan yang boleh dipercayai, pengurangan kerosakan barangan, akses pasaran yang lebih luas serta peluang yang lebih besar untuk perniagaan dan komuniti di Sabah,” katanya.
-- BERNAMA