SC, Bursa Malaysia Laksana 13 Inisiatif Pertingkat Tahap Mudah Tunai, Kecekapan Pasaran Modal - Kementerian Kewangan
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia melaksanakan 13 inisiatif sepanjang lapan bulan pertama 2026, bagi meningkatkan tahap mudah tunai dan kecekapan pasaran modal Malaysia, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Antaranya termasuklah pengenalan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S) pada 12 Januari bagi meningkatkan keterlihatan syarikat tempatan berdaya tahan.
“Indeks baharu itu mengenal pasti 50 syarikat Pasaran Utama dan Pasaran ACE di luar Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) berdasarkan keuntungan, struktur modal serta kualiti pendapatan, sekaligus menyediakan penanda aras seragam untuk membantu pelabur mengenal pasti syarikat yang mempunyai asas kukuh,” menurut Tinjauan Ekonomi 2027 yang dikeluarkan hari ini.
Pada Mac 2026, Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) dilancarkan bagi mengembangkan saiz pasaran modal kepada antara RM5.8 trilion-RM6.3 trilion menjelang 2030, sambil memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam melalui inovasi berteraskan Maqasid Syariah.
Menurut MoF, pelan strategik lima tahun itu menggariskan 56 inisiatif strategik bagi merancakkan pasaran, memperluas capaian modal, meningkatkan peluang pelaburan, memacu kewangan mampan dan kewangan Islam serta memperkukuh kesalinghubungan pasaran serantau.
Pada bulan sama, SC sebagai penyelia Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) melancarkan Skim Ekonomi Perak dan Insentif Perkongsian Keuntungan Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian bagi memacu pertumbuhan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Sementara itu, Bursa Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) denga Hong Kong Exchanges and Clearing Limited (HKEX) pada 27 Mac bagi memperkukuh kesalinghubungan pasaran serantau melalui pengenalan Indeks HKEX Bursa Malaysia Large Cap sebagai inisiatif pertama kerjasama tersebut.
Pada April, pengawal selia itu turut melaksanakan pengelasan semula data urus niaga ekuiti bagi meningkatkan ketelusan serta menyediakan maklumat lebih terperinci mengenai aliran dana pelabur runcit dan institusi.
Antara inisiatif lain termasuklah penetapan harga bagi sukuk pertama yang ditokenkan di Malaysia dengan nilai RM100 juta oleh Khazanah Nasional Bhd, dengan kerjasama SC pada 28 April.
“Inisiatif ini turut menyediakan asas kawal selia dan pasaran bagi penerbitan instrumen bertoken pada masa hadapan seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi pasaran modal Islamik,” menurut MoF.
Pada 20 Ogos, MoF menyatakan bahawa Bursa Malaysia dan FTSE Russell memperkenalkan penambahbaikan pada FBM KLCI dan Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 (FBM70) bagi memastikan indeks penanda aras utama Malaysia kekal mewakili pasaran, boleh labur serta selaras dengan keperluan pelabur domestik dan antarabangsa.
“Perluasan FBM KLCI daripada 30 kepada 50 konstituen sekali gus meningkatkan liputan permodalan Pasaran Utama daripada sekitar 60 peratus kepada 70 peratus dan representasi merentas sektor, merangkumi sektor teknologi, tenaga dan REIT buat julung kalinya, sambil mengurangkan penumpuan dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Penambahbaikan ini akan dilaksanakan secara berfasa mulai 21 Disember dan dijangka selesai pada 21 Jun 2027.
-- BERNAMA