Permintaan Domestik, Pelaburan Pacu Pertumbuhan Malaysia Pada 4.2-5.2 Peratus Tahun Depan
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.2 peratus dan 5.2 peratus pada 2027 berbanding 4.8 peratus hingga 5.3 peratus tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang mampan, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan yang berterusan dan aktiviti pelaburan yang kukuh, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Menjelang ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-70 pada tahun depan, tumpuan kekal diberikan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi bernilai lebih tinggi dengan meningkatkan produktiviti dan memperkukuh keterangkuman selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dan menambah baik kedudukan global semasanya di tempat ke-33.
Sementara itu, pelaburan mesti menjana keupayaan domestik yang lebih kukuh, memperdalam jalinan dengan syarikat tempatan, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan taraf hidup.
Penggunaan swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, didorong peningkatan kuasa beli isi rumah dan pengembangan berterusan dalam sektor pelancongan, peruncitan, pengangkutan dan perkhidmatan lain seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia (VM) 2026-2027.
Aktiviti pelaburan dijangka kekal rancak susulan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan dan inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Negara (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Menurut MoF dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2027 serta Tinjauan Fiskal & Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027 yang dikeluarkan hari ini, pelaburan swasta diunjurkan berkembang sebanyak 7.1 peratus pada tahun depan.
Ini disokong oleh perbelanjaan modal yang berterusan, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan berasaskan teknologi intensif manakala pelaburan awam dijangka berkembang sebanyak 6.8 peratus, dipacu oleh perbelanjaan pembangunan yang disasarkan dan perbelanjaan modal yang stabil.
Kerajaan Persekutuan menganggarkan Belanjawan 2027 pada RM459.8 bilion (2026: RM441 bilion) bersamaan dengan 19.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan menyokong pengembangan ekonomi negara.
Daripada jumlah tersebut, RM376.8 bilion (2026: RM363.1 bilion) atau 81.9 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM83 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).
Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada projek dan program yang berpaksikan rakyat dengan 30.2 peratus daripada jumlah peruntukan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.
Justeru, Belanjawan 2027 akan memastikan isi rumah dilindungi melalui bantuan bersasar disokong akses lebih baik kepada infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, mobiliti dan perlindungan sosial.
Berlandaskan momentum pembaharuan, MoF memaklumkan belanjawan tersebut akan menumpukan kepada pengukuhan daya tahan dan daya saing ekonomi Malaysia bagi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dikongsi secara meluas.
"Disiplin fiskal dan tadbir urus lebih kukuh serta institusi yang berwibawa diperlukan untuk mencapai matlamat ini," menurutnya.
Oleh itu, MoF memaklumkan komitmen dasar perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan mengikut tempoh yang ditetapkan, akauntabiliti yang jelas dan hasil yang boleh diukur.
"Kerangka Ekonomi MADANI akan terus berperanan sebagai agenda penyampaian bersepadu demi meningkatkan potensi negara seterusnya menambah baik taraf hidup rakyat," katanya
Dari segi prestasi ringgit, mata wang tempatan mengukuh pada awal 2026 dengan peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding dolar AS dalam tempoh dua bulan pertama tahun tersebut.
Namun, momentum positif tersebut kemudiannya beralih arah susulan konflik Asia Barat yang semakin meruncing pada akhir Februari 2026 dengan ringgit menyusut sebanyak 3.3 peratus berbanding dolar AS sehingga akhir Ogos 2026.
Bagaimanapun, berdasarkan prestasi tahun-sehingga-kini, ringgit meningkat sebanyak 0.9 peratus berbanding dolar AS pada akhir Ogos 2026 di samping mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau termasuk euro (1.7 peratus), yen Jepun (3.0 peratus), peso Filipina (6.7 peratus), rupiah Indonesia (6.6 peratus) dan baht Thailand (5.1 peratus).
"Meskipun berdepan cabaran luaran, kedudukan ekonomi Malaysia yang kukuh serta pelaksanaan pembaharuan struktural berterusan telah mengekalkan keyakinan pasaran sekali gus memberikan sokongan asas kepada ringgit," katanya.
Defisit fiskal diunjur terus berkurangan kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada 2027 (2026: 3.6 peratus) apabila pelaksanaan konsolidasi akan terus disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa dengan pelarasan fiskal berlandaskan peningkatan hasil yang mampan dan kecekapan perbelanjaan.
Prospek Ekonomi
Mengenai pertumbuhan Malaysia merentas semua subsektor, MoF memaklumkan sektor perkhidmatan diunjurkan mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2 peratus pada 2027, dengan semua subsektor dijangka menunjukkan prestasi positif.
Pertumbuhan ini akan dipacu oleh perkhidmatan digital bernilai tinggi dan penggunaan swasta yang berdaya tahan dan peningkatan ketibaan pelawat susulan kempen VM 2026-2027.
Sektor pembuatan diunjurkan berkembang sebanyak 4.1 peratus pada 2027, didorong oleh pengembangan sederhana dalam industri berorientasikan eksport.
Pertumbuhan dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) dijangka kekal stabil, disokong oleh permintaan berterusan terhadap produk berkaitan AI meskipun terdapat penyederhanaan dalam kitaran semikonduktor global pada 2027.
Sementara itu, sektor pertanian dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan marginal sebanyak 0.5 peratus pada 2027.
Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur kekal tinggi, dengan purata antara RM4,450 hingga RM4,600 setan pada 2027 berbanding RM4,300 hingga RM4,500 setan pada tahun ini, selari dengan keadaan bekalan yang lebih terhad.
Sektor perlombongan dan pengkuarian diunjurkan berkembang sebanyak 1.2 peratus pada 2027, disokong oleh subsektor gas asli serta minyak mentah dan kondensat.
Sektor pembinaan diunjur berkembang sebanyak 5.7 peratus pada 2027, didorong oleh aktiviti berterusan merentas semua subsektor.
Menurut MoF, permintaan domestik diramalkan meningkat sebanyak 5.1 peratus pada tahun depan, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta pada kadar 5.3 peratus.
"Aktiviti penggunaan dan pelaburan yang berdaya tahan dijangka mengekalkan sumbangan sektor swasta kepada pertumbuhan KDNK pada tahap 4.1 mata peratusan," katanya.
Penggunaan swasta diunjurkan berkembang sebanyak 4.8 peratus pada 2027, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang berterusan dan prospek pekerjaan yang menggalakkan manakala pelaburan swasta diunjurkan berkembang sebanyak 7.1 peratus, disokong oleh perbelanjaan modal yang berterusan.
Bagi penggunaan awam, MoF memaklumkan ia diunjurkan berkembang sebanyak 3.2 peratus pada 2027, dengan pertumbuhan disokong oleh perbelanjaan emolumen serta perbelanjaan bagi bekalan dan perkhidmatan.
Sektor Luaran
Mengenai sektor luaran, MoF memaklumkan eksport kasar pada 2027 diramalkan meningkat sebanyak 3.0 peratus, didorong oleh permintaan yang menggalakkan terhadap barangan pembuatan, barangan perlombongan dan barangan pertanian.
Eksport barangan pembuatan diunjurkan berkembang sebanyak 2.6 peratus, berikutan prestasi stabil dalam industri E&E terutamanya semikonduktor, disokong oleh permintaan berterusan bagi produk berkaitan AI.
Begitu juga, eksport barangan perlombongan dijangka berkembang sebanyak 8.3 peratus berikutan eksport gas asli cecair (LNG), petroleum mentah serta bijih logam dan serpihan logam manakala eksport barangan pertanian diunjurkan meningkat sebanyak 4.8 peratus didorong oleh penghantaran minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih tinggi.
Sementara itu, import kasar dianggarkan berkembang sebanyak 3.5 peratus dipacu oleh import barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan yang lebih tinggi.
“Import yang lebih tinggi dijangka terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan serta projek infrastruktur ke arah pelaksanaan projek berorientasikan rakyat,” katanya.
Bagi keseluruhan prestasi perdagangan untuk 2026, MoF menganggarkan ia melonjak sebanyak 27.2 peratus kepada RM3.9 trilion pada 2026, dirangsang oleh kitaran naik teknologi global dan sektor tenaga yang menggalakkan.
Inflasi Utama
Inflasi keseluruhan diunjurkan berada antara 1.8 peratus dan 2.8 peratus pada 2027, mencerminkan lanjutan dan pemindahan kenaikan kos tenaga, makanan dan input lain dengan sela masa.
“Inflasi dijangka lebih tinggi pada awal 2027 sebelum menyederhana apabila kesan kenaikan kos terdahulu semakin berkurangan dan kos pada peringkat huluan beransur-ansur kembali normal.
“Tekanan harga domestik dijangka kekal terkawal, dengan aktiviti ekonomi dijangka tidak mencetuskan tekanan inflasi akibat tarikan permintaan,” menurut MoF.
Bagaimanapun, katanya kategori berkaitan perkhidmatan, termasuk makanan di luar rumah, perkhidmatan berkaitan perumahan dan penjagaan diri kekal sebagai sumber utama tekanan harga asas.
Risiko terhadap inflasi adalah cenderung meningkat.
"Ketegangan geopolitik kembali memuncak, gangguan berpanjangan terhadap bekalan tenaga dan rantaian bekalan, kenaikan pengangkutan barang dan baja serta kejutan bekalan makanan akibat faktor cuaca boleh menjurus kepada inflasi yang lebih tinggi dan berpanjangan,” menurutnya.
Sebaliknya, katanya inflasi akan berada di bawah unjuran senario asas jika harga minyak mentah dan makanan global kembali normal dengan lebih cepat, ringgit mengukuh serta permintaan domestik menyederhana.
Pasaran Buruh
Jumlah guna tenaga diunjur berkembang sebanyak 2.0 peratus kepada 17.2 juta orang pada 2027, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menyumbang lebih daripada 80 peratus peluang pekerjaan.
Pasaran buruh pada 2027 dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh meskipun berdepan cabaran geopolitik dan perdagangan yang berterusan.
Dari segi penawaran, MoF memaklumkan reformasi struktur di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI seperti struktur gaji yang diperkukuh, perlindungan sosial yang diperluas dan persekitaran tempat kerja yang ditambah baik dijangka meningkatkan penyertaan tenaga kerja.
“Dari sudut permintaan, pelaksanaan bersasar pelan induk nasional, termasuk RMK13, NSS dan NETR dijangka mempercepat pewujudan peluang pekerjaan,” menurutnya.
Sehubungan dengan itu, kadar pengangguran dijangka kekal rendah pada 3.0 peratus pada 2027.
Pekerja asing berkemahiran rendah dijangka terus berkurangan pada tahun depan selaras dengan mandat RMK13 untuk mengehadkan siling pekerja asing supaya tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah guna tenaga menjelang 2030.
Produktiviti buruh diunjurkan meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada RM112,098 pada 2027, terutamanya didorong oleh momentum produktiviti berterusan dalam sektor perkhidmatan, terutamanya industri berkaitan pelancongan berikutan VM2026-2027.
Prospek Ekonomi Global
Mengenai prospek global, MoF memaklumkan pertumbuhan KDNK diunjurkan berkembang secara sederhana pada kadar 3.0 peratus pada 2026 dan 3.4 peratus pada 2027.
Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh permintaan yang semakin pesat dalam sektor teknologi global hasil daripada kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI).
Menurut MoF, prospek tersebut adalah tidak sekata memandangkan konflik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada negara pengimport tenaga dan ekonomi yang terdedah kepada risiko manakala permintaan yang dipacu oleh AI akan memacu kemajuan negara-negara yang bersepadu dalam rantaian nilai teknologi global.
Pertumbuhan ekonomi maju dijangka berkembang secara sederhana, sementara pasaran pesat membangun dan ekonomi sedang membangun (EMDE) akan terus menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi global.
"Pengembangan ini juga disokong oleh inflasi yang semakin reda dan dasar monetari yang secara beransur-ansur menjadi kurang ketat, sekali gus memberikan dorongan tambahan kepada aktiviti pelaburan dan perdagangan," menurut kementerian itu.
Sebagai sebuah negara perdagangan, MoF menekankan kepentingan bagi Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dengan terus mempelbagaikan pasaran eksport, memperkukuh integrasi serantau dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, di samping memelihara kestabilan makroekonomi dan kewangan.
-- BERNAMA