BERITA TERKINI   Belanjawan 2027: Kerajaan setuju perkenal semula klausa perubahan harga khusus untuk menampung kenaikan kos diesel dan bitumen | Belanjawan 2027: TNB labur RM15 bilion perkukuh Grid Nasional bagi menjamin kelangsungan permintaan elektrik negara | Belanjawan 2027: Kerajaan, MAHB sedia RM1.1 bilion tambah baik jalan kawasan pelabuhan, lapangan terbang di Kota Kinabalu, Miri, Tawau, Sandakan, Pulau Pinang serta STOLport Long Banga dan Ba'Kelalan, Sarawak | Belanjawan 2027: Bantuan Awal Persekolahan ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, seramai 5.3 juta murid layak menerima dengan peruntukan RM1 bilion | Belanjawan 2027: Hampir RM1.3 bilion disediakan bagi naik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak | 

Kerajaan MADANI Berjaya Bina Semula Daya Tahan Fiskal Negara - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI telah berjaya membina semula daya tahan fiskal negara dengan menurunkan defisit fiskal 6.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 kepada 3.6 peratus  pada 2026 dan seterusnya dijangka mencecah  3.3 peratus menerusi langkah secara berperingkat dan bersasar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran itu kekal berpandukan matlamat fiskal jangka sederhana yang digariskan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850), selaras dengan usaha Kerajaan MADANI memperkukuh daya tahan fiskal negara secara beransur-ansur dan terukur. 

Beliau berkata pengalaman Malaysia sepanjang dekad 2020-an khususnya ketika berdepan pandemik COVID-19 sehinggalah konflik geopolitik di Asia Barat, membuktikan betapa pentingnya kedudukan fiskal yang kukuh bagi membolehkan kerajaan menggembleng ikhtiar, melindungi rakyat serta menopang iktisad negara. 

Ad Banner

“Pandemik COVID-19 menuntut campur tangan fiskal yang luar biasa sehingga defisit fiskal melonjak kepada 6.4 peratus daripada KDNK pada 2021. Hari ini, harga tenaga yang kekal tinggi dan tekanan berterusan terhadap rantaian bekalan turut diburukkan oleh risiko iklim yang semakin ketara.

“Bagi sebuah ekonomi terbuka seperti Malaysia, kejutan sedemikian pantas merebak kepada harga barangan, tanggungan subsidi, hasil Kerajaan serta perbelanjaan awam,” kata beliau.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata demikian dalam prakata laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kehematan fiskal tidak bermaksud kerajaan melaksanakan dasar penjimatan melampau sehingga menjejaskan bantuan kepada rakyat, sebaliknya penyasaran semula subsidi diiringi ikhtiar menutup ketirisan serta memperbaiki pengurusan sumber awam membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan sambil terus mendukung pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri berkata Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI terus menjadi antara tonggak utama dalam melindungi isi rumah, khususnya ketika kenaikan harga tenaga dunia kembali memberi tekanan terhadap kos sara hidup, dengan bantuan turut diteruskan kepada perniagaan yang terkesan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Anwar berkata pencapaian sasaran fiskal 2027 juga tidak mungkin dicapai dengan mengawal perbelanjaan semata-mata, malah memerlukan penambahbaikan tatakelola, pentadbiran hasil dan pematuhan, selain memastikan subsidi benar-benar dinikmati golongan yang layak.

“Tadbir urus operasi serta perolehan sektor awam perlu menjadi lebih cekap, manakala perbelanjaan pembangunan mesti ditumpukan kepada program dan projek yang memberikan nilai terbesar kepada rakyat,” kata beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata pembaharuan institusi menjadi teras penting agenda fiskal negara, termasuk pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2026 (Akta 882)  yang menyediakan kerangka lebih kukuh bagi menjamin integriti, kecekapan dan kebertanggungjawaban dalam perolehan awam.

Selain itu, cadangan penggubalan undang-undang berkaitan entiti milik kerajaan serta transformasi Kumpulan Wang Amanah Negara menjadi sebuah badan berkanun sepenuhnya akan memperkukuh tatakelola dan pengurusan sumber serta kekayaan negara.

Anwar berkata pengurusan kewangan awam yang bertanggungjawab bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat hari ini, malah memastikan beban kewangan tidak dipindahkan kepada generasi akan datang.

“Pengajaran daripada Surah Yusuf menuntut kita berpandangan jauh, berdisiplin dan sentiasa bersiap siaga. Kita boleh leka hanya kerana keadaan kini memihak kepada kita. Justeru, kehematan bukanlah matlamat yang berdiri sendiri. Tujuannya ialah membina daya tahan - keupayaan untuk menempuh kejutan, memelihara kestabilan dan terus membina masa hadapan.

“Insya-Allah, dengan tatakelola yang baik, pelaksanaan yang berdisiplin serta pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, Kerajaan MADANI akan terus memelihara keupayaan Malaysia untuk bertindak pada hari ini, seraya mewariskan sebuah negara yang lebih teguh kepada anak-anak kita pada hari esok,” kata beliau.

-- BERNAMA