MyDCD Meterai Perjanjian Penajajaminan Dengan TA Securities Bagi Penyenaraian Di Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan kejuruteraan MyDCD Bhd (MyDCD) memeterai perjanjian penajajaminan dengan TA Securities Holdings Bhd (TA Securities) bersempena dengan cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
TA Securities akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi tawaran awam permulaan (IPO) tersebut.
Menurut MyDCD, pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 335 juta saham biasa baharu, dan daripada jumlah itu sebanyak 89.7 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia menerusi kaedah pengundian dan ditaja jamin oleh TA Securities.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menyatakan sebanyak 36 juta saham akan ditawarkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak serta menyumbang kepada kejayaan MyDCD dan anak syarikatnya, manakala 50.71 juta saham akan disediakan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.
“Baki 158.59 juta saham baharu akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” menurut MyDCD.
IPO itu turut melibatkan tawaran penjualan 145 juta saham sedia ada, merangkumi 79.34 juta saham kepada pelabur terpilih dan 65.66 juta saham kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI, kedua-duanya menerusi penempatan persendirian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chris Ow Yong berkata IPO itu akan menyediakan sumber kepada syarikat itu untuk memperkukuh keupayaan projek dan kejuruteraannya, menambah jumlah tenaga kerja dan memperkasa infrastruktur operasi, selaras dengan langkah ke arah cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE.
“Apa yang lebih penting, ia akan membolehkan kami untuk memperkukuh keupayaan sedia ada dan merebut peluang dalam ekosistem pusat data yang semakin berkembang.
“Seterusnya, ia mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam sistem mekanikal, elektrikal, pemasangan paip dan perlindungan kebakaran (MEPF) dalam industri pusat data Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, MyDCD dijangka disenaraikan di Pasaran ACE pada suku keempat 2026.
-- BERNAMA