BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Malaysia Harus Perkukuh Kerjasama Serantau Untuk Jaminan Bekalan Tenaga Stabil - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama serantau bagi menjamin bekalan tenaga yang stabil dan mampu bayar, seiring usaha mempercepat peralihan kepada tenaga rendah karbon.

Pendirian itu disampaikan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mewakili Kerajaan Malaysia pada Mesyuarat Menteri Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Karbon Asia (AZEC) Keempat di Manila, Filipina hari ini.

Kementerian Ekonomi berkata dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama AZEC melengkapi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, mobiliti hijau, pembangunan infrastruktur dan pembiayaan peralihan.

Ad Banner

“Malaysia juga melihat ruang kerjasama dalam pengurangan pelepasan metana, hidrogen serta teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Selain itu, Malaysia mengalu-alukan sokongan Jepun dan rakan AZEC dalam bidang teknologi, pembiayaan dan pembangunan kapasiti,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam perbincangan tersebut, Akmal Nasrullah menekankan bahawa peralihan tenaga yang adil perlu mengambil kira keperluan rakyat, kemampuan negara dan pertumbuhan ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mesyuarat tersebut disertai kesemua 11 negara anggota AZEC, iaitu Jepun, Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Wakil Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun, Takagi Kei serta Setiausaha Tenaga Filipina Sharon S Garin.

Tumpuan perbincangan adalah kepada daya tahan bekalan tenaga susulan ketidaktentuan geopolitik, termasuk risiko gangguan laluan bekalan melalui Selat Hormuz.

Para anggota AZEC itu turut membincangkan usaha meningkatkan kapasiti simpanan minyak secara sukarela, tertakluk kepada keadaan dan kemampuan masing-masing, serta kerjasama di bawah inisiatif POWERR Asia. 

POWERR Asia (singkatan kepada Partnership On Wide Energy and Resources Resilience Asia) ialah sebuah inisiatif dan pelan kestabilan serantau diterajui kerajaan Jepun (diumumkan oleh Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi) yang memberi fokus kepada ketahanan tenaga.

Terdahulu, Akmal Nasrullah turut mengadakan Mesyuarat Dua Hala bersama Timbalan Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga, Jabatan Perubahan Iklim, Tenaga, Alam Sekitar dan Air, Australia, Josh Wilson memfokuskan kepada isu keterjaminan bekalan tenaga dan pembekalan gas antara kedua-dua negara.

Perbincangan dua hala turut diadakan bersama Takagi, menyentuh peranan Malaysia dalam AZEC serta peluang kerjasama dalam bidang CCUS dan hidrogen.

Mesyuarat diteruskan dengan Mesyuarat Khas bersama negara Timur Tengah Pengeluar Minyak iaitu Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu bagi membincangkan peluang kerjasama dalam strategi jaminan bekalan petroleum.  

Akmal Nasrullah turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara IHI Corporation dengan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bagi kajian kebolehlaksanaan pembangunan bahan bakar ammonia, serta pertukaran surat niat antara METI dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkaitan peralihan tenaga. 

-- BERNAMA