BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026 | Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas jerebu akan laksana PdPR - KPM | Jerebu: Institusi pendidikan di kawasan IPU lebih 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup mulai 12 Okt - KPM | Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula esok - KPM | RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | 

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Kenaikan Harga Minyak, Risiko Geopolitik

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dan terus berdepan tekanan jualan menjelang pengumuman Belanjawan 2027 esok berikutan lonjakan semula harga minyak serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat yang terus menjejaskan sentimen risiko.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 10.77 mata kepada 1,601.01 berbanding 1,611.78 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.67 mata lebih tinggi kepada 1,613.45, yang juga paras tertinggi harian, sebelum mencecah paras terendah 1,597.94 pada sesi pertengahan pagi.

Ad Banner

Dalam pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 813 berbanding 378 manakala 482 kaunter tidak berubah, 2,828 tidak didagangkan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata harga minyak mentah Brent meningkat lebih tiga peratus, didorong kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjadi lebih buruk.

“Bagi ekuiti Malaysia, gandingan harga tenaga yang lebih tinggi, ketidaktentuan geopolitik dan aktiviti jualan berterusan oleh pelabur asing semakin menjadi faktor penghalang penting dalam jangka pendek.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih bagi 10 hari dagangan berturut-turut setakat semalam, sekali gus mengehadkan kemampuan pasaran untuk menyerap kejutan luaran walaupun terdapat harapan terhadap Belanjawan 2027,” katanya.

Beliau berpendapat FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu dalam masa terdekat, dengan arah aliran harga minyak, aliran dana asing serta perkembangan ketegangan AS-Iran dijangka lebih mempengaruhi pasaran berbanding pemangkin domestik menjelang Belanjawan 2027.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM12.90, manakala Maybank dan CIMB masing-masing susut tujuh sen kepada RM9.80 dan RM7.26; Public Bank turun empat sen kepada RM4.55 dan IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM7.88.

Bagi dagangan aktif, Top Glove menambah dua sen kepada 87.5 sen, V.S Industry naik setengah sen kepada 33 sen, JAKS Resources meningkat satu sen kepada 18.5 sen, Zetrix AI turun setengah sen kepada 7.5 sen manakala PUC kekal tidak berubah pada empat sen.

Antara kaunter paling untung, Petronas Gas meningkat 54 sen kepada RM17.80, Nestle naik 42 sen kepada RM89.44, Hengyuan Refining Company menokok 26 sen kepada RM3.77, Chin Teck Plantations menambah 26 sen kepada RM10.54, Bus Cap melonjak 18 sen kepada 99.5 sen manakala Gas Malaysia naik 15 sen kepada RM5.40.

Malaysian Pacific Industries mendahului senarai kaunter paling rugi apabila susut RM1.70 kepada RM43.50, Dutch Lady Milk Industries turun 46 sen kepada RM29.24, United Plantations berkurangan 78 sen kepada RM30.40, Kuala Lumpur Kepong rendah 56 sen kepada RM20.54 dan UMS Integration menyusut 50 sen kepada RM8.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 menyusut 216.42 mata kepada 17,537.07, Indeks FBM Emas susut 95.19 mata kepada 12,029.76, Indeks FBM Top 100 turun 96.87 mata kepada 11,805.11, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 87.32 mata kepada 12,059.83 manakala Indeks FBM ACE susut 27.60 mata kepada 5,594.78.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.05 mata kepada 178.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 184.87 mata kepada 18,378.45, Indeks Tenaga meningkat 0.37 mata kepada 839.34 manakala Indeks Perladangan merosot 106.25 mata kepada 8,869.79.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.88 bilion unit bernilai RM3.09 bilion daripada 2.40 bilion unit bernilai RM3.15 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.08 bilion unit bernilai RM155.11 juta daripada 939.82 juta unit bernilai RM143.09 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 546.33 juta unit bernilai RM217.71 juta berbanding 489.99 juta unit bernilai RM227.12 juta sebelumnya.

Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 199.19 juta saham di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (375.18 juta), pembinaan (167.81 juta), teknologi (495.78 juta), perkhidmatan kewangan (119.03 juta), hartanah (71.79 juta), perladangan (33.92 juta), amanah pelaburan hartanah (13.51 juta), dana tertutup (218,400), tenaga (74.29 juta), penjagaan kesihatan (194.62 juta), telekomunikasi dan media (48.38 juta), pengangkutan dan logistik (37.89 juta), utiliti (50.94 juta) serta amanah perniagaan (38,800).

-- BERNAMA

 

 

 

.