Penyerapan Kos Kekalkan Inflasi Rendah Namun Tekanan Harga Mungkin Meningkat Pada 2027 -- Bank Muamalat
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Jurang inflasi antara pengeluar dan pengguna Malaysia menunjukkan perniagaan atau syarikat menanggung sebahagian daripada peningkatan kos meskipun pengguna berkemungkinan berdepan harga lebih tinggi jika keadaan itu berterusan, menurut Bank Muamalat Malaysia Bhd.
Ketua Ahli Ekonominya Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bank itu mengunjurkan inflasi meningkat kepada 2.2 peratus pada 2027 berbanding unjuran 1.8 peratus pada bagi 2026 apabila syarikat berkemungkinan memindahkan kos operasi yang lebih tinggi kepada pengguna.
Beliau berkata inflasi mengikut Indeks Harga Pengguna (IHP) sekitar 1.9 peratus menunjukkan syarikat masih belum melepaskan sepenuhnya peningkatan kos bahan mentah dan bahan api kepada pelanggan masing-masing.
“Syarikat sanggup menanggung sebahagian daripada peningkatan kos bahan mentah, kenaikan kos bahan api dan sebagainya kerana mahu melindungi bahagian pasaran masing-masing selain mengekalkan hubungan dengan pelanggan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Ekonomi Korporat 2026 anjuran Bank Muamalat Malaysia Bhd di sini, hari ini.
Forum itu bertemakan “Malaysia 2027 and Beyond: Reading the Economy, Reading the Nation”.
Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam bagaimanapun mengingatkan syarikat hanya dapat menyerap kos tambahan itu untuk sementara sebelum melepaskannya kepada pengguna.
Pada masa sama, katanya, terdapat penangguhan antara kos operasi yang meningkat serta impaknya ke aras harga pengguna dengan perniagaan berkemungkinan melepaskan peningkatan berkenaan jika kos bahan mentah dan lain-lainnya kekal tinggi.
“Trajektori bagi inflasi tahun depan berkemungkinan lebih tinggi daripada tahun ini,” katanya.
Ulasan Mohd Afzanizam menyusuli kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi yang memberi amaran bahawa peningkatan tekanan kos di peringkat huluan boleh mencetuskan risiko inflasi pada akhir tahun ini walaupun Malaysia mencatatkan kadar inflasi antara yang terendah di rantau ini.
Bercakap pada satu taklimat Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik 2026 baru-baru ini, Apurva berkata inflasi harga pengeluar telah berubah daripada wilayah negatif pada Disember 2023 dan Februari 2024 kepada lebih 10 peratus pada Jun dan hampir 11 peratus pada Ogos tahun ini.
Bagaimanapun, Bank Dunia mengunjurkan inflasi utama akan meningkat secara sederhana kepada dua peratus pada 2026 dengan subsidi mengekang pelepasan akibat kenaikan harga tenaga kepada isi rumah.
– BERNAMA