Risiko Luaran, Politik Antara Cabaran Ekonomi Malaysia Pada 2027 - Pakar Ekonomi
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berdepan risiko luaran pada 2027 terutama ketidaktentuan geopolitik, dasar perlindungan perdagangan Amerika Syarikat (AS) serta kadar faedah yang tinggi di negara-negara maju, kata pakar ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata konflik yang masih berlarutan di Timur Tengah dan dasar perlindungan oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump merupakan antara perkembangan luaran yang perlu diberikan perhatian.
“Risiko terbesar sememangnya faktor luaran. Kita lihat apa yang berlaku di Timur Tengah masih lagi perang yang tidak reda. Kemudian, dasar yang melindungi oleh pentadbiran Trump masih lagi berleluasa.
“Terkini, kita dapat melihat kenaikan kadar faedah terutama dalam pasaran bon di negara maju seperti AS, Eropah dan Jepun yang dilihat agak tinggi. Keadaan ini memberi satu isyarat bahawa satu ekonomi itu masih boleh bertumbuh tetapi akan ada satu ketika nanti kadar faedah itu perlu diturunkan,” katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi Korporat Bank Muamalat 2026 di sini hari ini.
Mohd Afzanizam berkata pada masa ini kitaran ekonomi global masih berjalan lancar, namun potensi untuk berlaku kemerosotan ekonomi tetap wujud dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Mengulas mengenai ekonomi domestik dan sentimen pelabur sekiranya Malaysia berdepan pilihan raya umum pada tahun depan, beliau berkata kalangan pelabur terutama pelabur institusi asing dijangka menilai perkembangan dasar, suhu politik serta dinamik gabungan politik negara.
-- BERNAMA