BERITA TERKINI   Bernama terima Anugerah Penyiaran Media Massa pada majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA) malam ini | Jerebu: Semua sekolah di Johor ditutup dua hari bermula esok susulan kemerosotan kualiti udara - Exco | Belanjawan 2027 terus beri tumpuan ringankan beban, lindungi rakyat, buka peluang dan pastikan manfaat pembangunan yang lebih adil - PM Anwar | Belanjawan MADANI ke-5 berpaksikan tekad jelas bahawa ekonomi negara perlu terus diperkukuh, pertumbuhan diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik - PM Anwar | Tunggakan bayaran balik pinjaman untuk projek infrastruktur asas kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM8.084 bilion setakat 31 Dis tahun lepas - Chin Tong | 

Belanjawan 2027: Pulau Pinang Harap Berita Baik Penubuhan PTFC, Tujuh Projek Di Bawah RP2

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang berharap Belanjawan 2027 membawa berita baik mengenai cadangan penubuhan Penang Technology Financial Centre (PTFC) bersama Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh ekosistem teknologi di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan yang sebelum ini dikenali sebagai Penang International Financial Centre (PIFC) telah dinamakan semula sebagai PTFC selepas beberapa siri perbincangan dan mengambil kira maklum balas diterima.

Beliau berkata perubahan itu selaras dengan peranan Pulau Pinang dan wilayah utara sebagai hab elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor negara selain mengambil kira perkembangan sektor kecerdasan buatan (AI).

Ad Banner

“Kita sudah buat pindaan daripada PIFC kepada PTFC supaya kita boleh memfokuskan kepada kekuatan Pulau Pinang dalam sektor teknologi ini.

“Jadi, kita berharap belanjawan ini dapat membawa berita baik berhubung dengan permintaan kita untuk menubuhkan bersama dengan Kerajaan Persekutuan, PTFC di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chow berkata kerajaan negeri menerusi pasukan petugas PIFC sebelum ini telah mengemukakan kertas putih mengenai cadangan berkenaan kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada September lepas susulan perbincangan ringkas beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembentangan kepada kementerian itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata penubuhan PTFC antara lain bertujuan memperluas akses kepada modal khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula serta syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan skala operasi.

Menurutnya akses kepada modal penting bagi membolehkan syarikat tempatan berkembang seiring pembangunan sektor semikonduktor dan AI yang turut diterajui syarikat multinasional, sekali gus melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berskala besar.

“Ada banyak yang sudah disenaraikan dalam Bursa. Kita juga ingin melihat lebih banyak syarikat pemula niaga PKS dalam sektor ini mendapat akses kepada modal supaya mereka dapat mengembangkan operasi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Chow berkata tujuh daripada 10 projek keutamaan Pulau Pinang yang dikemukakan bagi Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah diterima untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini.

Beliau berkata 10 projek berkenaan dikemukakan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) kepada MOF pada Februari lepas manakala tiga projek yang tidak diterima masih boleh dibangkitkan semula oleh kerajaan negeri.

Antara tujuh projek yang diterima untuk pertimbangan ialah Pemetaan dan Penilaian Sumber Air Bawah Tanah di Negeri Pulau Pinang, Penang STEM Talent Blueprint, cadangan pembinaan Kompleks Pasar Awam Teluk Kumbar serta projek naik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal bagi sistem kawalan banjir.

Turut disenaraikan ialah projek naik taraf Jalan Bukit Tambun FT149 dari persimpangan Jalan Persekutuan FT001 ke persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan serta projek naik taraf jalan dari Permatang Tinggi ke Sungai Juru di Laluan Persekutuan FT001 manakala satu lagi projek ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kelang Ubi di Seberang Perai Tengah.

-- BERNAMA