AmBank Perkukuh Perbankan Mewah, Pengurusan Kekayaan Di Kelawei
GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- AmBank Group memperkukuh komitmennya terhadap segmen pelanggan berkemampuan tinggi dan pengurusan kekayaan dengan melancarkan cawangan utama Kelawei, yang menghimpunkan AmBank Signature Priority Banking (AmSPB) dan AmPrivate Banking.
Terletak di sebuah banglo warisan Kelas 2 di Jalan Kelawei, George Town, cawangan utama itu menggabungkan seni bina warisan Pulau Pinang dengan persekitaran perbankan kontemporari, sekali gus menawarkan pelanggan pengalaman perbankan dan pengurusan kekayaan yang lebih diperibadikan serta bersifat peribadi.
Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank Group Cheong Chee Wai, berkata keperluan kewangan pelanggan berkemampuan tinggi semakin kompleks, sekali gus mendorong permintaan yang lebih tinggi terhadap nasihat yang dipercayai dan penyelesaian pengurusan kekayaan yang komprehensif.
“Pelanggan berkemampuan tinggi kami mahukan lebih daripada sekadar produk kewangan. Mereka menghargai nasihat yang dipercayai, kemudahan, privasi serta hubungan perbankan yang memahami aspirasi dan keadaan individu mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena pelancaran cawangan itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Kekayaan Kumpulan AmBank Group Goh Wee Peng, berkata penggabungan AmBank Signature Priority Banking (AmSPB) dan AmPrivate Banking di cawangan utama itu membolehkan bank berkenaan menawarkan pengurusan hubungan khusus, perkhidmatan perbankan yang diperibadikan serta penyelesaian pengurusan kekayaan di satu lokasi.
Beliau berkata cawangan Kelawei itu turut menyediakan platform penting kepada AmBank untuk memperkukuh hubungan dengan pelanggan sedia ada, di samping mengalu-alukan generasi baharu rakyat Malaysia berkemampuan tinggi kepada perkhidmatan perbankan keutamaan dan perbankan persendiriannya.
Sempena pelancaran itu, AmBank turut memperkenalkan kempen khas AmSPB Kelawei yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Dis 2026, menawarkan pelbagai manfaat dan ganjaran eksklusif kepada pelanggan yang layak.
Antara tawaran tersebut ialah set hadiah 24K Gold Leaf Luxury Body Care Series untuk pelanggan baharu AmSPB. Sementara itu, pelanggan baharu segmen pengurusan kekayaan yang melabur dalam unit amanah, unit amanah patuh Syariah atau produk berstruktur berpeluang menerima emas seberat satu atau dua gram, selain berpeluang memenangi emas seberat 10 gram sebagai hadiah bonus khas.
Pelanggan yang membuka akaun semasa atau simpanan/-i baharu dengan deposit dana baharu minimum RM5,000 akan menerima AmBank Aman Camel Plushie, manakala pelanggan yang menyertai pelan bancassurance atau bancatakaful dengan premium atau caruman tahunan minimum RM30,000 akan menerima kit perjalanan eksklusif.
-- BERNAMA