Negeri Sembilan Catat RM41.5 Bilion Pelaburan Diluluskan Sejak 2023
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM41.5 bilion pelaburan telah diluluskan untuk Negeri Sembilan bagi tempoh 2023 hingga Jun 2026 di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dengan potensi mewujudkan 14,953 peluang pekerjaan.
Kementerian itu berkata daripada jumlah itu, pelaburan domestik menyumbang RM24.2 bilion atau 58 peratus, manakala pelaburan asing berjumlah RM17.3 bilion atau 42 peratus.
Sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar dengan pelaburan sebanyak RM22 bilion atau 53 peratus, diikuti sektor perkhidmatan RM19.5 bilion (46.9 peratus) dan sektor utama RM670,000 (0.1 peratus), kata MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung jumlah pelaburan domestik dan asing yang diluluskan di Negeri Sembilan bagi tempoh 2023 hingga 2026, nilai pelaburan dan jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan serta langkah kerajaan memastikan penduduk Parlimen Rasah mendapat manfaat daripada pelaburan tersebut.
Dalam pada itu, MITI berkata kerajaan Persekutuan bersama MIDA, kerajaan Negeri Sembilan dan agensi berkaitan telah dan sedang melaksanakan pendekatan bersepadu bagi memastikan pelaburan yang diluluskan bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, malah turut memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
Antara langkah yang dilaksanakan ialah meningkatkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menerusi projek pelaburan baharu serta projek pembesaran dan pelbagaian, khususnya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi.
Syarikat yang melaksanakan projek pelaburan juga digalakkan memberi keutamaan kepada pengambilan dan pembangunan keupayaan tenaga kerja tempatan mengikut keperluan kemahiran syarikat.
Selain itu, kerajaan menggalakkan kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), institusi pengajian tinggi serta agensi pembangunan bakat bagi memastikan kemahiran tenaga kerja tempatan selaras dengan keperluan industri.
MITI berkata penyertaan syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), turut diperkukuh melalui program pembangunan vendor, padanan perniagaan dan program rantaian bekalan bagi membolehkan mereka menjadi pembekal produk dan perkhidmatan kepada syarikat yang melabur di Negeri Sembilan.
Kerajaan juga menggalakkan pelabur mendapatkan perkhidmatan sokongan daripada komuniti perniagaan setempat, termasuk dalam bidang logistik, penyelenggaraan mekanikal dan pembinaan, bagi memastikan PKS dapat terlibat secara langsung dalam rantaian nilai pelaburan.
Bagi memastikan pelaburan berkualiti memberikan nilai tambah yang lebih tinggi, kerajaan memberi penekanan kepada pelaburan yang melibatkan teknologi, automasi, pendigitalan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Pendekatan ini bertujuan memastikan peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sahaja meningkat dari segi kuantiti, tetapi turut menawarkan prospek kerjaya, peningkatan kemahiran dan pendapatan yang lebih baik kepada rakyat tempatan," katanya.
-- BERNAMA