Sebanyak 21,391 Bakat Semikonduktor Dilatih Sehingga Jun Selaras Pelaksanaan NSS
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Seramai 21,391 bakat telah dilatih dalam bidang semikonduktor sehingga Jun 2026 melalui pelbagai program pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan teknikal, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut MITI usaha itu merupakan sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk membangunkan 60,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang semikonduktor menjelang 2030, selaras dengan pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Kementerian memaklumkan pembangunan bakat berkemahiran tinggi penting bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja yang mampu menyokong peralihan Malaysia kepada aktiviti semikonduktor bernilai tinggi.
“Usaha ini bertujuan memastikan pembangunan bakat tempatan bergerak seiring dengan keperluan industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh keupayaan syarikat tempatan untuk menguasai teknologi dan membangunkan harta intelek (IP) sendiri,” menurut MITI menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) berkenaan perancangan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam rantaian semikonduktor di peringkat global serta mampu memperkasakan keupayaan mandiri melalui nilai tambah yang lebih tinggi.
Menurutnya kerajaan komited memperkukuh keupayaan strategik Malaysia dalam ekosistem semikonduktor global menerusi NSS, dengan peralihan daripada pendekatan “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia.”
MITI memaklumkan peralihan itu menyasarkan Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi pengeluaran, sebaliknya memiliki teknologi, kepakaran, IP serta syarikat teknologi tempatan yang berdaya saing di peringkat global.
Dalam usaha mengukuhkan ekosistem semikonduktor, kerajaan turut memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk program 10+100 syarikat peneraju tempatan, pembangunan ekosistem reka bentuk litar bersepadu (IC) serta penubuhan Malaysia Advanced Packaging Consortium (MAPC).
Menurut MITI pembangunan bakat berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang reka bentuk IC, turut diperlukan bagi meningkatkan keupayaan syarikat tempatan membangunkan reka bentuk cip proprietari dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi serta reka bentuk asing.
Kementerian memaklumkan kerajaan yakin pelaksanaan NSS akan memperkukuh keupayaan mandiri Malaysia daripada sekadar menjadi lokasi pengeluaran dan pengujian cip kepada negara yang berupaya mereka bentuk cip, membangunkan dan memiliki IP sendiri serta menghasilkan peralatan semikonduktor.
-- BERNAMA