BERITA TERKINI   Kerajaan lulus secara prinsip usul memperkasa Mahkamah Syariah, akan rujuk Majlis Raja-Raja- PM Anwar | Jangan sorok kes buli, salah laku disiplin semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah - PM Anwar | Aspek pendidikan, keselamatan anak-anak di sekolah adalah tanggungjawab bersama ibu bapa dan warga pendidik - PM Anwar | PM Anwar mahu tindakan cepat dan tegas diambil terhadap sebarang kes yang mengancam keselamatan pelajar di sekolah | 

Pelaburan Baharu, Sedia Ada Tabung Haji Catat Prestasi Positif Susulan Transformasi

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menunjukkan hasil positif dalam pelaburan baharu dan sedia ada susulan proses transformasi dan pengukuhan tadbir urus yang dilaksanakan institusi itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata perkembangan itu antara lain dicerminkan menerusi pencapaian pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarah TH.

“Alhamdulillah, sejak tahun lalu kita mencatatkan keuntungan yang tertinggi dalam sejarah Tabung Haji, menunjukkan bahawa pelaburan-pelaburan yang dilaksanakan, yang baharu dan yang sedia ada telah membuktikan ia berjaya.

Ad Banner

“Transformasi yang telah dilakukan, malah kita telah memperkukuh lagi dari sudut tadbir urus,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang meminta Perdana Menteri menyatakan strategi kerajaan mempelbagaikan portfolio pelaburan baharu dan memantapkan kerangka pengurusan risiko TH bagi menjamin kemampanan dana institusi itu.

Zulkifli berkata TH mempunyai proses pelaburan yang sistematik, antaranya melibatkan penilaian aspek pelaburan, risiko dan syariah sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“TH melaksanakan strategi pelaburan secara berhemah, patuh syariah dan berpandukan kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi memastikan portfolio pelaburannya mempunyai tahap kepelbagaian yang bersesuaian antara kelas aset, sektor dan pasaran.

“SAA itu disemak setiap tiga tahun bagi memastikan strategi pelaburan dan pengurusan risiko TH mengambil kira faktor semasa yang mempengaruhi perubahan dinamik persekitaran ekonomi dan pasaran modal,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2025, jumlah pendapatan pelaburan TH meningkat kepada RM4.64 bilion, paras tertinggi pernah direkodkan, manakala jumlah asetnya sebanyak RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion.

Kadar agihan keuntungan pula meningkat secara berperingkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, sekali gus mencatat kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

-- BERNAMA