Pulau Pinang Peroleh Pelaburan Teknologi Perubatan RM2.3 Bilion, Sedia Hampir 4,500 Kerja
GEORGE TOWN, 6 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM2.3 bilion dalam sektor teknologi perubatan dari 2021 hingga suku pertama 2026, melibatkan 40 projek dan mewujudkan hampir 4,500 peluang pekerjaan, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.
Beliau berkata ini menunjukkan kekuatan ekosistem teknologi perubatan (MedTech) Pulau Pinang yang semakin berkembang dan peralihannya ke arah pembuatan bernilai lebih tinggi.
“Teknologi perubatan bukan lagi sektor khusus di sini. Ia merupakan tonggak ekosistem pembuatan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Industri MedTech Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Datuk Dr P. Muralitharan dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Surayu Susah.
Chow memaklumkan bahawa Pulau Pinang kini menempatkan tujuh daripada 30 syarikat teknologi perubatan terkemuka dunia, iaitu Abbott, Boston Scientific, B. Braun, Smith+Nephew, STERIS, Dexcom dan Intuitive Surgical.
Beliau berkata negeri itu turut merekodkan sebanyak RM238 juta dalam eksport peralatan optikal, ketepatan, perubatan dan pembedahan antara 2021 hingga pertengahan 2026, yang menyumbang secara purata sebanyak 64 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dalam kategori tersebut.
Chow menambah bahawa industri teknologi perubatan Pulau Pinang telah menerima manfaat daripada sinergi antara sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan sektor teknologi perubatan, yang terbina hasil daripada kepakaran selama lima dekad dalam bidang semikonduktor dan teknologi termaju.
“Kecekapan ini diterjemahkan secara langsung kepada instrumen pembedahan, implan dan peranti perbuatan berketepatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri ketika ini sedang menumpukan usaha untuk beralih daripada skala pembuatan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi, termasuk reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan, keupayaan kawal selia serta pengujian.
Chow menjelaskan bahawa Pulau Pinang kini menyasarkan untuk menggandakan bilangan syarikat teknologi perubatan tempatan yang mengeluarkan peranti berdaftar dengan MDA daripada 20 syarikat ketika ini kepada 40 syarikat.
Setakat ini, lebih 20 syarikat teknologi perubatan tempatan kini mengeluarkan peranti berdaftar dengan MDA, terdiri daripada implan ortopedik dan peralatan pembedahan sehinggalah kepada produk penjagaan luka, pergigian, penyelesaian kawalan jangkitan dan bahan guna habis untuk perubatan.
Selain itu, Chow berkata kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan pemain industri dan ahli akademik untuk melahirkan jurutera, juruteknik dan pakar kualiti yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan sektor tersebut.
“Pengalaman Pulau Pinang dalam membangunkan industri semikonduktornya telah menyediakan asas yang kukuh bagi fasa seterusnya dalam pembangunan teknologi perubatan.
“Oleh itu, teknologi perubatan merupakan lembaran seterusnya dalam kisah tersebut, yang mana pembuatan berketepatan tinggi menyumbang kepada kesihatan manusia," tambah beliau.
-- BERNAMA