BERITA TERKINI   Seramai 3,524 pelarian Myanmar telah dipersetujui bersama Myanmar untuk dihantar pulang pada fasa kedua - Fahmi | Beberapa pemimpin negara dijangka adakan lawatan ke Malaysia minggu depan - Fahmi | Jemaah Menteri rakam ucapan takziah buat Tun Dr Mahathir atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah - Fahmi | Nepal setuju bantu percepat proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan akibat bencana - Fahmi | LTdL 2026: Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team Petr Rikunov menang peringkat keempat dari Meru Raya ke Cameron Highlands | 

TNG Digital, Webull Malaysia Bekerjasama Perkenal Dagangan Saham Global Dalam TNG Ewallet

PETALING JAYA, 30 Sept  (Bernama) -- TNG Digital Sdn Bhd dan Webull Securities (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama untuk memperkenalkan dagangan saham global menerusi GOfinance dalam TNG eWallet, yang membolehkan rakyat Malaysia yang layak mengakses ke pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong serta pasaran saham A China.

Webull Securities (Malaysia) merupakan anak syarikat di Malaysia bagi Webull Corporation yang disenaraikan di Nasdaq.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital Desmond Teoh berkata kerjasama itu memperluas rangkaian perkhidmatan kewangan yang tersedia menerusi GOfinance dengan membolehkan pengguna mengakses pelaburan di luar negara melalui aplikasi yang mereka gunakan untuk pembayaran harian dan perkhidmatan kewangan lain.

Ad Banner

“Matlamat kami menerusi GOfinance adalah untuk menyediakan lebih banyak pilihan kewangan dalam aplikasi yang sudah dikenali dan biasa digunakan oleh rakyat Malaysia.

“Dengan Webull Malaysia, pengguna yang layak boleh mengambil langkah seterusnya dalam pelaburan saham di luar negara, bermula dengan pembukaan akaun dan pembiayaan secara digital,” katanya pada majlis pelancaran akses dagangan saham global Webull Malaysia melalui GOfinance dalam TNG eWallet di sini hari ini.

Teoh berkata kerjasama itu menggabungkan jangkauan TNG eWallet dengan kepakaran khusus Webull Malaysia, sekali gus membolehkan platform berkenaan menyokong pelbagai keperluan kewangan yang lebih luas yang melangkaui perkhidmatan pembayaran.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau membandingkan proses digital bersepadu itu dengan pengalamannya membeli saham AS buat kali pertama pada 2009, apabila pelabur perlu mengisi borang, menjalani penilaian kesesuaian dan menunggu pihak bank mengesahkan transaksi.

“Pada hari ini, berjuta-juta rakyat Malaysia boleh melakukan semua ini daripada sofa mereka, menyelesaikan transaksi ini, melihat sama ada transaksi itu sepadan atau tidak, mungkin sebelum intro siri Netflix selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia Kenneth Chan berkata kerjasama itu bertujuan mengurangkan halangan untuk mula melabur, khususnya kepada pelabur kali pertama.

Beliau berkata keperluan untuk memuat turun aplikasi lain, menjalani proses pendaftaran baharu dan membiasakan diri dengan antara muka yang berbeza boleh menyebabkan bakal pelabur keberatan untuk mengambil langkah pertama dalam melabur.

Chan berkata pengguna boleh melabur melalui Webull dalam TNG eWallet tanpa perlu memuat turun aplikasi Webull secara berasingan.

Katanya pengguna bagaimanapun masih perlu menjalani pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) dan maklumat daripada TNG eWallet boleh diisi secara automatik dalam proses pembukaan akaun Webull dengan persetujuan pengguna.

“Dengan persetujuan anda, kami akan memasukkan maklumat itu ke dalam Webull, anda hanya perlu menjawab soalan yang berkaitan, menghantar permohonan dalam tempoh kurang dari lima minit dan akaun anda akan diluluskan dalam masa satu hingga tiga hari bekerja, tetapi secara teknikalnya ia boleh diselesaikan dalam tempoh sehari,” katanya.

Setakat Ogos 2026, GOfinance mempunyai 8.5 juta pengguna dengan lebih empat juta daripadanya melakukan transaksi setiap bulan dan 46 peratus memiliki lebih daripada satu produk perkhidmatan kewangan.

Sempena pelancaran itu, pengguna yang layak yang mengakses Webull Malaysia melalui GOfinance boleh menerima saham pecahan Apple Inc bernilai RM30 selepas mendepositkan sekurang-kurangnya RM200 ke dalam akaun dagangan mereka dan mengekalkan deposit berkenaan selama sekurang-kurangnya 30 hari, tertakluk kepada terma dan syarat.

Orang ramai boleh melayari https://www.tngdigital.com.my/gofinance/investment/ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran dagangan dan pelaburan yang tersedia menerusi GOfinance dalam TNG eWallet.

-- BERNAMA