Kinergy Advancement Cadang Penempatan Persendirian Untuk Kumpul RM79.75 Juta
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kinergy Advancement Bhd telah mencadangkan penempatan persendirian sehingga 218.49 juta saham baharu, mewakili 10 peratus daripada saham terbitannya untuk mengumpul hasil kasar sehingga RM79.75 juta.
Penyedia penyelesaian tenaga dan kejuruteraan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata 61.9 peratus daripada jumlah hasil atau RM49.35 juta, akan digunakan bagi membiayai loji janakuasanya yang sedang dibangunkan di Perlis, oleh anak syarikat milik 51 peratusnya, Eentier Sdn Bhd.
Loji turbin gas kitaran gabungan 1,500 megawatt itu akan dibangunkan sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP), dengan tenaga elektriknya akan dijual kepada Tenaga Nasional Bhd.
Sementara itu, RM30 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan baki RM400,000 sebagai bayaran bagi perbelanjaan berkaitan langkah tersebut.
Cadangan penempatan persendirian itu dijangka selesai menjelang suku pertama 2027.
Sebagai tambahan kepada projek loji janakuasa Perlis, kumpulan itu turut mempunyai 24 projek dengan jumlah kontrak dan nilai konsesi mencecah paras RM1.35 bilion, dan sedang dalam tender untuk 11 projek tambahan dengan jumlah anggaran nilai kontrak sebanyak RM3.73 bilion di seluruh Malaysia.
“Kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada peluang pengembangan dalam segmen penyelesaian tenaga mampan, termasuk tenaga boleh baharu dan ruang IPP, selain mengembangkan jejaknya di Asia Tenggara,” katanya.
-- BERNAMA