EGH International Lancar Prospektus IPO Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Firma perkhidmatan kelengkapan dalaman, EGH International Bhd (EGHI) melancarkan prospektusnya bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO) dan rancangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 Oktober 2026.
EGHI dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa IPO itu merangkumi 360 juta saham, iaitu 240 juta saham baharu dan tawaran penjualan 120 juta saham sedia ada pada harga 16 sen sesaham.
“IPO itu merangkumi 80 juta saham, terdiri daripada 50 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, dan 30 juta kepada pekerja dan pengarah yang layak, selain individu lain yang menyumbang kepada kumpulan,” menurut syarikat itu.
Menurut EGHI, baki 280 juta saham diperuntukkan bagi tawaran institusi menerusi tawaran saham persendirian kepada institusi dan pelabur terpilih.
Tambah kumpulan itu lagi, selepas IPO itu selesai, hasil kasar sebanyak RM38.4 juta daripada terbitan saham baharu akan digunakan untuk membina ibu pejabat, gudang dan bilik pameran Pusat Jualan Premium Hiasan Dalaman yang baharu di Puchong, Selangor.
Selain itu, menurut EGHI, hasil itu juga akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman dan membiayai modal kerja am bagi pengembangan perniagaan, manakala bakinya diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.
“Bangunan perindustrian baharu setinggi lima tingkat itu akan dibina di atas tapak seluas kira-kira 2.67 ekar dengan keluasan binaan sekitar 130,000 kaki persegi, yang dijangka menyokong peningkatan jumlah projek serta kehadiran runcit kumpulan tersebut,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Weslie Lim berkata pelancaran prospektus itu menandakan peristiwa penting dalam pertumbuhan EGHI.
“Hasilnya akan memperkukuhkan lembaran imbangan dan membiayai pengembangan kami, sekali gus membolehkan kami melaksanakan projek kelengkapan dalaman berskala lebih besar dengan spesifikasi tinggi serta memperluas kehadiran runcit perniagaan kepada pengguna (B2C) kami," jelas syarikat itu.
Permohonan bagi IPO itu dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 5 Oktober dengan pengundian dijangka berlangsung pada 7 Oktober, manakala peruntukan saham IPO disasarkan pada 14 Oktober.
Berjaya Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal pada pelaksanaan IPO tersebut.
--BERNAMA