Infomina Dapat Kontrak Perkhidmatan Teknologi Bernilai RM62.65 Juta
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Infomina Bhd telah memperoleh kontrak RM62.65 juta untuk menyediakan perkhidmatan teknologi dan penyelenggaraan kepada institusi kewangan di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyelesaian teknologi itu berkata ia telah menerima surat anugerah (LOA) daripada institusi kewangan itu hari ini dan butiran lanjut mengenai nilai termasuk skop kontrak itu masih tidak tersedia.
“Tempoh LOA ialah selama 69 bulan, bermula 1 Okt 2026 hingga 30 Jun 2032,” katanya sambil menambah bahawa sebarang pembaharuan atau lanjutan LOA selepas tempoh tersebut adalah mengikut budi bicara institusi kewangan tersebut.
Di bawah kontrak itu, Infomina akan menyediakan rangkaian perkhidmatan berkaitan teknologi seperti pembekalan, penghantaran, pemasangan, konfigurasi, penyepaduan, ujian, pentauliahan, pelaksanaan, sokongan dan penyelenggaraan perkakasan, peralatan, perisian serta item lain yang berkaitan.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak.
Saham Infomina ditutup pada RM1.60, naik 2 sen.
-- BERNAMA