China, Malaysia Setuju Cadangan Laluan Projek ECRL Dilanjut Ke Rantau Panjang - PM Anwar
Daripada Harlina Samson
HANGZHOU, 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan China bersetuju dengan cadangan untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan.
Beliau berkata projek ini bukan sahaja bakal merancakkan ekonomi kawasan pedalaman di Kelantan yang sebelum ini terpinggir, malah membuka sambungan pengangkutan terus dengan Thailand.
“Perbincangan lanjut cadangan ECRL akan diadakan bersama dengan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan,” kata Anwar kepada media Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja ke China, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan tersebut turut mendapat maklum balas positif dalam perbincangan beliau bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
ECRL merupakan projek pengangkutan darat yang memberi perkhidmatan rentas wilayah yang pantas, menghubungkan Wilayah Pantai Barat ke Wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia, sepanjang 665 kilometer.
Laluan ECRL yang akan bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang, melibatkan 20 stesen, terdiri daripada 10 stesen penumpang dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.
Anwar berkata perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang hari ini amat penting kerana merangkumi isu-isu strategik yang dihadapi oleh kedua-dua negara dan rantau ASEAN, di samping mendapatkan maklumat mengenai agenda utama pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping yang sedang membuat lawatan rasmi di Washington DC.
Mengulas sama ada isu sekatan tarif dan tekanan perdagangan oleh AS dibincangkan, Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal berpendirian neutral dan memilih untuk meneruskan ruang dialog secara terus dengan pihak AS, dan China sedia maklum mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada 22 peserta Malaysia yang bertanding di WorldSkills Shanghai 2026 Ke-48, yang berlangsung sehingga akhir minggu ini.
Terdahulu, Anwar turut merasmikan Pavilion Malaysia pada Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima (GDTE) di Hangzhou Grand Convention and Exhibition Center.
Pavilion Malaysia yang menghimpunkan 15 peserta pameran, termasuk empat agensi kerajaan, memaparkan kekuatan dan inovasi Malaysia dalam bidang perdagangan digital, kecerdasan buatan, perkhidmatan awan, penjagaan kesihatan pintar dan e-dagang rentas sempadan.
Penyertaan syarikat Malaysia yang diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu mengetengahkan keupayaan dan kekuatan syarikat digital serta berasaskan teknologi negara untuk bersaing di arena global.
Perdana Menteri berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini selepas menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.
-- BERNAMA